Oleh Nurfaizatul Huda Ahmad
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 28 November 2022 – Penerima Anugerah Emas Kedoktoran dari Fakulti Sains Kesihatan, Dr. Fatin Hanani Mazri berharap modul SLIMSHAPE™ Chronoyang dirangka dari hasil kajian beliau dapat membantu lebih ramai individu yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Melalui kajian ini, beliau membangunkan sebuah modul penurunan berat badan yang menggabungkan elemen-elemen seperti kawalan kuantiti makanan, masa makan, senaman, pengukuhan motivasi kendiri serta penjagaan tabiat tidur.
Selepas tiga bulan, bukan sahaja peserta kajian berjaya menurunkan berat badan, malah peratus lemak badan, tekanan darah serta sindrom makan lewat malam mereka juga turut berkurangan.
“Kebiasaannya, mereka yang ingin menurunkan berat badan hanya fokus kepada jumlah kalori sahaja, tetapi modul ini juga mengambil kira kuantiti makanan dan waktu kita mengambil makanan tersebut.
“Buat masa ini kami hanya dapat melakukan kajian dalam kalangan pekerja bukan shif di Putrajaya namun, untuk pengajian pasca kedoktoran, saya akan bergerak untuk mengumpul data dari seluruh negara untuk melihat adakah meal-timing (waktu makan) rakyat Malaysia mempengaruhi kenaikan dan penurunan berat badan mereka,” ujarnya lagi.
Menurut Dr. Fatin, kebanyakan masyarakat berpendapat bahawa mereka perlu mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak pada sebelah siang dan mengurangkan kuantiti pengambilan makanan pada sebelah malam.
Bagaimanapun, kuantiti pengambilan makanan juga perlu dipertimbangkan kerana peratus pengambilan karbohidrat, protien, vitamin dan zat-zat lain juga memainkan peranan dalam membantu orang ramai mendapatkan berat badan yang ideal. Tambah beliau lagi, sebanyak 80 peratus dari peserta yang menyertai kajian ini berjaya beralih dari individu yang mempunyai berat badan berlebihan (overweight) kepada berat badan yang normal.