Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 15 Disember 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Perniagaan Global & Ekonomi Digital Fakulti Ekonomi dan Pengurusan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Cognitive Consulting Sdn. Bhd. bagi menyediakan platform dalam pembelajaran teknologi robotik, khususnya Automasi Proses Robotik (APR).
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata kerjasama ini menyediakan latihan dan sesi pembangunan profesional kepada pelajar dan ahli akademik UKM oleh Cognitive Consulting di dalam mendalami teknologi APR terutamanya kepada pelajar perakaunan di UKM.
“MoU ini juga bertujuan untuk membangunkan modul untuk kursus microcredential atau pembelajaran untuk pelajar yang telah menamatkan kursus perisian APR tersebut.
“Di samping mendapat latihan, para pelajar akan turut memperoleh pengalaman bekerja sambil belajar atau latihan praktikal di dalam organisasi Cognitive Consulting Sdn. Bhd.
“Usaha ini adalah tepat pada masanya dan sesuai dalam matlamat kami untuk meluaskan dan mengukuhkan perkongsian antara penyelidik akademik dan industri, khususnya dalam membina bakat dan meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Majlis yang sama turut menyaksikan pelancaran Journal of Strategic Digital Transformation in Society dan platform BuDi, iaitu laman web khusus yang disediakan bersama Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) untuk membantu usahawan di Perusahaan Kecil dan Sederhana bagi memasarkan produk mereka. Prof. Dr. Mohammad Kassim dan Dekan FEP, Prof. Dr. Aini Aman mewakili UKM dalam menandatangani MoU tersebut. Sementara itu, Cognitive Consulting Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Zulkifli Ghair dan Ketua Komunikasi Korporat Censof Holdings, Raja Amirul Raja Nasron.