Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 29 Disember 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn. Bhd bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan UKM dan pemerkasaan penyelidikan universiti.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata terdapat tiga orang graduan UKM yang berjaya mendapatkan pekerjaan di ND Paper dan beliau berharap agar jumlah ini meningkat pada masa hadapan.
“Melalui MoU ini, diharap graduan UKM yang berkompeten, berdaya asing dan inovatif dapat memberi sumbangan kepada keperluan tenaga kerja di syarikat ND Paper. Kerjasama ini juga membolehkan ND Paper menyediakan peluang latihan industri kepada mahasiswa UKM.
“Hubungan kerjasama antara UKM dengan ND Paper Malaysia telah lama terjalin dan saya dimaklumkan pihak ND Paper Malaysia sebelum ini telah turut serta mengambil bahagian dalam Hari Industri dan Keusahawanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina pada tahun 2021,” katanya.
Menurutnya, ND Paper merupakan sebuah syarikat pengeluar kertas tersenarai awam di China yang terlibat dalam pembuatan produk papan kontena termasuk papan pelapik, papan dupleks serta pulpa.
“Pelaburan ND Paper di negeri Selangor dan Pahang telah Berjaya mewujudkan peluang pekerjaan yang besar di mana hampir 90 peratus daripadanya adalah rakyat Malaysia. Pelaburan dan peluang pekerjaan ini menjadikan ND Paper Malaysia memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Sebagai sebuah universiti penyelidkan, UKM mempunyai pelbagai kepakaran dan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh pihak ND Paper.
“UKM juga sentiasa berusaha untuk memasyarakatkan penyelidikan yang dijalankan untuk manfaat pihak masyarakat dan industri selaras dengan peranan UKM sebagai universiti watan,” tambahnya. Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin dan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman mewakili UKM dalam menandatangani MoU tersebut. Sementara itu, ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Hubungan Luar, Isabelle Kow Soek Foon dan Penolong Pengurus Sumber Manusia, Tan Li Yen.