Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 3 September 2024 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa industri rehabilitasi.
MoU ini merangkumi peluncuran Pensijilan Profesional Rehabilitasi Industri bersama UKM bertujuan melahirkan lebih ramai ahli profesional kesihatan dengan kepakaran dalam pengurusan hilang upaya untuk membantu pelbagai golongan sasar melalui penyediaan persekitaran kerja kondusif dan pelaksanaan penyesuaian kerja yang efektif.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor berkata kerjasama ini berupaya merancakkan lagi program yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan pemulihan kebolehkerjaan dan golongan kurang upaya.
“UKM dan PERKESO telah melaksanakan banyak aktiviti bersama sejak hampir sedekad yang lalu namun belum berpeluang memeterai kerjasama secara rasmi dalam bentuk MoU merangkumi latihan kepada pelajar dan kakitangan, aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti penyelidikan,” katanya.
Tambah Prof. Dr. Abdul Halim, UKM juga menyambut baik perkongsian kepakaran dan sokongan dari PERKESO yang boleh dimanfaatkan dalam latihan kepada pelajar dan kakitangan universiti itu, terutama di Fakulti Sains Kesihatan.
Hal ini sekali gus mengukuhkan pelaksanaan aktiviti dan program berimpak tinggi, termasuk penyelidikan yang memfokuskan keberkesanan program pemulihan individu hilang upaya sama ada akibat penyakit atau kemalangan, jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Encik John Riba Marin berkata, PERKESO adalah organisasi tunggal di Asia Tenggara yang memegang lesen pelaksanaan pensijilan profesional Certified Disability Management Professional (CDMP).
“Pensijilan antarabangsa ini dihasilkan oleh National Institute of Disability Management and Research (NIDMAR), Kanada, telah dibawa ke Malaysia oleh PERKESO pada tahun 2010.
“Sehingga 30 Jun 2024, seramai 457 orang profesional dari pelbagai latar belakang dan negara telah berjaya ditauliahkan melalui pensijilan ini. Justeru, PERKESO amat mengalu- alukan warga UKM yang berminat untuk mendapatkan pensijilan profesional ini yang diiktiraf di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” tambahnya.