Naib Canselor Umum Tiga Berita Gembira kepada Jururawat UKM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 29 Mei 2024 – Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan  Toriman mengumumkan tiga berita gembira kepada jururawat yang bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia, yang disambut baru-baru ini.

Beliau berkata bagi mengisi kekosongan jawatan jururawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK), pihak UKM akan memberi tajaan kepada 20 orang bakal jururawat untuk menyambung pengajian di mana-mana institusi pengajian di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mereka yang menerima tajaan ini perlu berkhidmat di mana-mana fasiliti kesihatan di UKM sama ada di HCTM, HPKK atau Pusat Kesihatan Universiti (PKU) selepas tamat belajar,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia di sini.

Selain itu, beliau berkata jururawat yang bertugas di semua fasiliti kesihatan di UKM juga diberi peluang menjalani program sangkutan di mana-mana hospital di Malaysia dan berita gembira ketiga adalah jururawat-jururawat yang berkelayakan akan diberikan kemudahan cuti belajar bergaji penuh.

“Semua kemudahan ini adalah untuk meningkatkan kepakaran jururawat dalam bidang jaga rawat pesakit-pesakit di HCTM, HPKK dan PKU,” katanya.

Pada majlis itu, Prof Dato’ GS Ts Dr Mohd Ekhwan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jururawat UKM yang telah bertungkus lumus memberikan jasa dan bakti kepada kecemerlangan dan kegemilangan bidang perubatan didalam UKM.

“Saya yakin ramai yang berkorban masa dan tenaga dalam kerjaya ini. Percayalah setiap satu kebaikan yang anda lakukan pasti akan mendapat ganjaran pahalaNya,” katanya.

Bertemakan “Our Nurses, Our Future: The Economic Power of Care”, buat julung kalinya sambutan pada tahun ini diadakan secara gabungan tujuh entiti Kejururawatan di bawah UKM, iaitu HPKK, HCTM, UKMSC, Pusat Kanser UKM-MAKNA, Jabatan Kejururawatan, Fakulti Perubatan dan Kampus Raja Muda Abdul Aziz Kuala Lumpur, Pusat Kesihatan UKM Bangi dan Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) Cawangan PPUKM.

Sambutan ini dianjurkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan para jururawat yang berkhidmat di UKM kerana jururawat memainkan peranan penting dalam semua institusi perubatan, bertanggungjawab untuk kebajikan, keselamatan dan pemulihan pesakit.

Leave a Reply