Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 16 Julai 2024 – Pakar bahasa seluruh negara ASEAN berkumpul di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi berkongsi ilmu dan dapatan penyelidikan terkini demi kemajuan bahasa khususnya linguistik dalam Persidangan Linguistik ASEAN (PLA) 2024 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.
Bertemakan “Bahasa dan Kuasa”, sebanyak 75 kertas penyelidikan dibentangkan, termasuk berkenaan aspek kesantunan bahasa dalam kalangan pelbagai etnik dan budaya.
Naib Canselor Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj Toriman berkata persidangan itu menjadi platform perkongsian pintar tokoh-tokoh dan ilmuwan bahasa dalam mengupas dan menghuraikan pengaruh kuasa dan impaknya kepada pelbagai aspek kehidupan.
“Selari dengan Bitara WATAN UKM, inisiatif penganjuran persidangan ini juga menjadi salah satu usaha yang tepat dalam mengantarabangsakan bahasa Melayu yang merupakan salah satu bahasa berpengaruh di ASEAN dan seluruh dunia,” katanya.
Beliau yang merasmikan persidangan itu berkata usaha tersebut akan selalu disokong oleh UKM yang sentiasa terkehadapan dan bersedia bersama-sama semua pihak yang terlibat dalam mengangkat kuasa bahasa sebagai cerminan jati diri dan menjadi alat mempersatukan masyarakat.
“Komitmen berterusan UKM dalam memartabat bahasa Melayu terserlah menerusi kolaborasi Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai rakan sinergi Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi perancangan bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Linguistik dalam penganjuran program Dekad Bahasa Kebangsaan, persidangan dan kempen yang berkaitan dengan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin berkata penyalahgunaan bahasa dalam teknologi mampu menyerlahkan kuasa pengguna alam maya sehingga membawa kepada konflik antara manusia.
Justeru, katanya PLA kali ini membahaskan bagaimana isu-isu bahasa dan kuasa mampu mempengaruhi corak pemikiran manusia pada hari ini.
“Persidangan ini tidak akan berakhir di sini sahaja, tetapi kita akan bawakan kertas kerja ini untuk diterbitkan dalam Jurnal Linguistik yang mempunyai faktor impak 1.74 dan bertaraf Q3 dalam penilaian MyCite,” katanya.
Antara yang hadir ke persidangan ini adalah Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim.