Oleh Siti Hajar Mohammad
PUCHONG, 28 Februari 2025 – Ecoshapers Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terdiri daripada persatuan pelajar, pegawai penyelidik Fakulti Pergigian, Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Lestari, Universiti Malaya (UM) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Zon 12 menganjurkan Program Komuniti Aktif, Sihat & Lestari (KASIH) di Taman Tasik Seri Aman Public Park, Puchong, baru-baru ini.
Program tersebut diadakan bagi mendedahkan peserta kepada kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti riadah sambil mengutip sampah (plogging), eksplorasi gaya hidup sihat lestari, mempromosi amalan pemakanan sihat dalam kalangan komuniti setempat serta meningkatkan kesedaran tentang pengurusan sisa sampah dan pemuliharaan alam sekitar.
Melalui aktiviti plogging, peserta mempamerkan komitmen yang tinggi dan telah berjaya mengutip sebanyak 110 kilogram sampah. Selain itu, lebih daripada 100 peserta yang hadir berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menarik berteraskan gaya hidup sihat dan lestari, selain dapat membuat konsultasi kesihatan asas bagi menilai tahap kesihatan peserta.
Ahli Majlis Zon 12 MBSJ, Fauzan Rosli berkata program itu membuktikan potensi Taman Tasik Seri Aman untuk menjadi hab eko pelancongan yang mampu menyatukan pendidikan kelestarian dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Kerjasama antara komuniti, akademik dan pihak berkuasa tempatan adalah kunci kejayaan program KASIH ini.
“Program seperti ini perlu diperluaskan kerana ia bukan sahaja mendidik, malah menawarkan penyelesaian praktikal melalui aktiviti interaktif dan hands-on yang dibawa kepada komuniti dan telah mengeratkan hubungan antara komuniti dan institusi pengajian tinggi,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan “Back-to-School” kepada murid-murid dari komuniti sekitar turut diadakan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Harmoni UKM, Iffah Khadijah Hisamuddin berkata sebagai wakil pelajar UKM, program itu membuka ruang buat mereka untuk mengasah kepimpinan dan keberanian berkomunikasi melalui interaksi langsung dengan komuniti.
Dengan keberjayaan program tersebut, Ecoshapers UKM berhasrat untuk terus melatih generasi pelajar yang berwawasan dan mampu memimpin inisiatif kelestarian dan gaya hidup sihat.
Kolaborasi erat antara pihak UKM, komuniti dan MBSJ Zon 12 membuktikan bahawa usaha bersama mampu memberi impak yang besar, selain menjadi lambang aktiviti translasi dan pemindahan ilmu yang bermakna.
