Pasukan Moot UKM Tersenarai 11 Terbaik Dunia dalam Piala Dunia Jessup 2025

Oleh Muhammad Hazriq Hamqa Shaharudin

BANGI, 11 April 2025 – Lima pelajar Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengharumkan nama negara apabila disenaraikan dalam kedudukan 11 terbaik dalam pertandingan berprestij, Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition yang diadakan di Washington DC, Amerika Syraikat, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, satu-satunya pasukan yang mewakili Malaysia ini telah mencatatkan rekod tanpa kalah dalam pusingan awal, dengan empat kemenangan berturut-turut.  Pada tahun ini, sebanyak 805 pasukan dari lebih 100 dunia menyertai pertandingan itu.

Dalam pertandingan itu, mereka turut berjaya mengalahkan juara bertahan dunia serta juara kebangsaan dari United Kingdom, Sepanyol, dan Taiwan.

Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof Dr Rasyikah Khalid berkata keberhasilan pasukan UKM dalam Piala Dunia Jessup 2025 adalah bukti kecemerlangan dan dedikasi luar biasa semua peserta.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian ini yang bukan sahaja mengharumkan nama Fakulti Undang-Undang UKM, tetapi juga nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan komitmen, kerja keras dan semangat berpasukan, tiada yang mustahil dan juga ia membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing dengan universiti terkemuka dunia dalam bidang undang-undang,” katanya.

Beliau berjarap agar pencapaian itu memberi inspirasi kepada pelajar UKM untuk terus mencapai kecemerlangan,

Sementara itu, seorang peserta, Prajhessh Magendran berkata kejayaan itu adalah hasil usaha bersama dan sokongan padu daripada keluarga, rakan-rakan dan jurulatih.

“Setiap cabaran yang dilalui mengajar kami erti ketekunan dan semangat berpasukan. Kami berbangga dapat mewakili UKM dan Malaysia, dan berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk mengejar impian mereka,” katanya.

Kejayaan pasukan UKM yang diwakili oleh Prajhessh Magendran, Ng Chin Yang, Lim Zheng Hua, Tan Ian dan Karthiga Elenggo telah dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Haniff Ahamat, Barvina Punnusamy dan Thenesh Anbalagan.

Pada pertandinga itu juga, pasukan UKM turut menerima Anugerah Alona E. Evans selepas menduduki tempat ke-13 dunia dalam kategori Best Combined Memorials, dan buat pertama kalinya, pasukan itu berjaya layak ke Pusingan 32 Terbaik, menjadi antara 16 pasukan terbaik dunia, sebelum berakhir di tangan Universiti Buenos Aires dari Argentina dalam satu perlawanan yang sengit.

Piala Dunia Jessup adalah pertandingan mahkamah moot yang paling berprestij, tertua, dan terbesar di dunia, yang diiktiraf dalam profesion undang-undang sebagai “Olimpik” (Olympics) atau “Piala Dunia” (World Cup) bagi pelajar undang-undang.

Setiap tahun, Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition menarik penyertaan lebih daripada 700 Fakulti Undang-Undang dari lebih 100 negara, menjadikannya sebuah arena global yang menghubungkan bakat-bakat terbaik di dunia dan menjadi medan untuk para pelajar undang-undang bersaing di peringkat antarabangsa.

Leave a Reply