Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
KUALA LUMPUR, 10 Januari 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi sumbangan dana sebanyak RM1.2 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalin kerjasama strategik dalam membanteras ancaman dadah dan bahan psikoaktif baharu (NPS) di Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dana itu digunakan untuk sewa beli instrumen makmal, termasuk meningkatkan keupayaan penggunaan fasiliti makmal dalam melaksanakan penyelidikan komprehensif berkaitan dadah dan NPS.
“Dana ini juga akan dimanfaatkan untuk penganjuran latihan kepakaran forensik narkotik kepada PDRM khususnya warga JSJN,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama UKM di Bukit Aman, di sini.
Beliau berkata penyelidikan yang dilaksanakan itu akan memenuhi keperluan jangka panjang dan akan menjadi titik tanda terhadap pembangunan sumber manusia dan kepakaran bidang khusus PDRM.
“Hasil penyelidikan akan diterjemahkan dan digunapakai sebagai metodologi pelaksanaan operasi anti dadah,” katanya.
Selain itu, katanya melalui kolaborasi itu juga bakal melaksanakan kajian dan penyelidikan berkaitan penentuan kadar dos ketagihan bagi menentukan kadar minimum dos yang boleh mendorong penagih ketagih dadah selain menentukan proses rawatan dan pemulihan penagih.
“Penyelidikan penjejakan molekul asal dadah bagi menentukan jenis dadah yang memudahkan penyiasatan pihak polis turut akan dilaksanakan, selain akan membangunkan pangkalan dadah forensik NPS untuk rujukan agensi penguatkuasaan di Malaysia dan Asia Tenggara dengan menempatkannya di makmal forensik Kuala Lumpur,” jelasnya.
Menurut Datuk Seri Ayob, PDRM dan UKM turut bekerjasama menghasilkan ‘strip’ ujian jenis elektrod biosensor yang lebih berkualiti serta kajian bagi menentukan kepekatan sisa dadah di loji rawatan kumbahan berikutan kebanyakan makmal berada di tempat sukar diakses.
“Kami juga akan melaksanakan kursus jangka pendek dan setakat ini melibatkan lapan pegawai, seorang berpangkat ASP dan tujuh Inspektor.
“Mereka akan mengikuti enam kursus jangka panjang dan dua sijil profesional untuk memantapkan lagi siasatan dan juga operasi terhadap sindiket dadah,” katanya.
Pada majlis itu, Datuk Seri Ayob menyerahkan replika cek berjumlah RM1.2 juta kepada Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman.