Oleh Khairatul Nadia Ramli
Foto Fakulti Perubatan
SHIGA, JEPUN, 1 Oktober 2024 – Enam pelajar tahun tiga Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama seorang Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga, Profesor Madya Dr. Noor Azimah Muhammad, telah menyertai program mobiliti akademik di Shiga University of Medical Science (SUMS) baru-baru ini, bagi memperluas pengetahuan akademik pelajar serta memahami amalan perubatan di negara lain.
Menurut Prof. Madya Dr. Noor Azimah, pengalaman berada di Jepun itu memberi pelajar pendedahan kepada etika kerja dan budaya masyarakat tempatan.
“Mereka mempelajari nilai disiplin dan profesionalisme yang tinggi, serta norma komunikasi yang penuh hormat. Pensyarah di SUMS juga memberikan sokongan dan berkongsi pengalaman yang berharga,” katanya.
Salah seorang pelajar, Nurul Nuhaa ‘Aaliyah Abdul Hanim berkata program mobiliti tersebut memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan untuk membina rangkaian antarabangsa dengan pelajar dari negara lain seperti China, Mongolia, dan India, selain memberi mereka perspektif baharu tentang cabaran dalam pendidikan perubatan.
“Secara keseluruhan, pengalaman selama dua minggu ini bukan sahaja meningkatkan ilmu akademik kami, tetapi juga dapat membentuk kemahiran kepimpinan dan kerjasama,” ujar beliau.
Shiga dipilih sebagai lokasi strategik kerana masyarakatnya terkenal dengan gaya hidup sihat, dengan jangka hayat lelaki purata 81.78 tahun dan wanita 87.57 tahun. Sepanjang program, pelajar berpeluang menjalani latihan di pelbagai pusat penyelidikan, termasuk Pusat Penyelidikan Epidemiologi Penyakit Tidak Berjangkit (NERC), Pusat Penyelidikan Neurosains Molekul (MNRC), dan Jabatan Forensik.
Di NERC, pelajar terlibat dalam kajian kohort tentang penyakit tidak berjangkit seperti arteriosclerosis, diabetes, dan penyakit jantung. Mereka berinteraksi dengan penyelidik berpengalaman dan membuat pembentangan mengenai epidemiologi di Malaysia, yang memperkayakan pengetahuan mereka dalam bidang ini.
Sementara itu, di MNRC, pelajar mempelajari penyelidikan neurologi dan menjalankan teknik seperti ujian imunohistokimia dan PCR. Pengalaman ini memperdalam minat mereka terhadap penyakit neurologi dan aplikasi neurosains dalam rawatan.
Pelajar juga diberi latihan untuk berada di Bahagian Perundangan Perubatan dan mendapat pendedahan tentang Perubatan Forensik. Mereka menyaksikan proses autopsi dan memahami pentingnya analisis forensik dalam menentukan punca kematian, yang melengkapkan pengetahuan mereka mengenai anatomi dan prosedur pengurusan mayat.
Selain aktiviti akademik, pelajar juga menyertai aktiviti penghayatan tradisi Jepun, seperti pembuatan teh matcha, yang menguji kemahiran dan perhatian mereka terhadap perincian pembuatan teh tersebut. Mereka juga menyaksikan Pesta Bunga Api Tasik Biwa, di mana sikap disiplin masyarakat Jepun sangat memberi kesan dalam menjaga kebersihan dan menghormati persekitaran semasa pertunjukan bunga api tersebut berlangsung.
Melalui pengalaman berharga ini, ia diharap dapat menjadikan pelajar-pelajar itu seorang doktor yang berdedikasi dan profesional, serta menyumbang kepada masyarakat Malaysia ke arah kehidupan yang sihat dan sejahtera.