Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 30 Mac 2024 – Lapan orang pelajar tahun satu Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) menerima sumbangan Dermasiswa Khidmat Budi FEP, hasil sumbangan adalah Kridentia Tech Sdn Bhd sebanyak RM72,000.
Pelajar tersebut menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan dengan jumlah terkumpul RM9000 setiap seorang bagi membiayai pembelajaran mereka selama tiga tahun.
Menurut Dekan FEP, Prof. Dr. Aini Aman, sumbangan dermasiswa ini diberikan kepada pelajar FEP yang layak berdasarkan keperluan kewangan dan prestasi akademik Semester 1 Sesi Akademik 2023/2024.
“Sumbangan sebegini memang amat kami alu-alukan untuk memberi sokongan kepada para pelajar yang mempunyai potensi untuk menjadi modal manusia cemerlang di masa hadapan.
“Justeru, pelbagai ruang disediakan untuk para alumni, rakan industri dan rakan strategik untuk turut sama dalam usaha akademik kami termasuklah dermasiswa, Hadiah Buku Khidmat Budi bersempena Konvokesyen UKM setiap tahun, peralatan pengajian seperti komputer riba, tajaan bilik kuliah dan makmal dan lain-lain lagi,” katanya.
Majlis ini turut diadakan bersekali dengan Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Iftar sempena Sambutan 50 tahun FEP.
Alumni FEP merangkap Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Yang Dipertua Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan Dato’ Masri Haji Razali turut hadir memeriahkan majlis ini.