Oleh Fakulti Perubatan
CHERAS – Pesakit yang mengalami sakit lutut yang teruk akibat osteoarthritis, artritis rheumatoid atau penyakit sendi degeneratif lain kini mampu pulih sepenuhnya dengan pembedahan gantian sendi lutut secara robotik.
Menurut pensyarah di Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr Nor Hamdan Mohamad Yahaya, pembedahan ini mengggunakan sistem ‘Robotic Surgery Assisted‘ (ROSA) yang berupaya untuk mencipta model 3D lutut pesakit sekaligus, membolehkan pakar bedah membuat perancangan sebelum pembedahan dijalankan.
“Semasa pembedahan, pakar artroplasti akan meletakkan penjejak (tracker) pada kaki pesakit dan mendaftarkan anatomi lutut pesakit ke dalam sistem ROSA bagi membolehkan robot mengesan dan memahami pergerakan lutut pesakit semasa prosedur.
”Dengan sistem ROSA, pakar bedah dapat merancang pemotongan tulang serta pengimbangan ligamen dan tisu yang tepat secara masa nyata (real time) sebelum melakukan pemotongan sebenar.
”Pakar bedah juga dapat menilai dan mengimbangi ketegangan pada ligamen dan memastikan penjajaran sendi lutut dan kestabilan sendi lutut yang betul. Ketepatan pemotongan dan penempatan komponen gantian sendi lutut yang betul akan dapat meningkatkan jangka hayat prostesis,” katanya.
Tambah beliau, kelebihan teknologi gantian sendi lutut secara robotik dapat mengurangkan kesakitan kerana kurang trauma pada tisu di sekeliling sendi lutut.
“Masa pemulihan yang lebih cepat dan dalam beberapa kes pesakit dapat berjalan pada hari yang sama setelah dibedah – sekaligus mengurangkan tempoh pesakit tinggal di dalam wad seterusnya mengurangkan kos perawatan.
”Selain itu, pembedahan gantian sendi lutut secara robotik mampu meningkatkan kepuasan pesakit dan dapat mengembalikan pergerakan pesakit yang sebelumnya terbatas.”
Beliau berkata, dengan adanya sistem pembedahan robotik di hospital pengajar Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), pengajaran teknologi pembedahan robotik dapat dijalankan kepada pelajar pascasiswazah dan pakar-pakar bedah yang ingin mempelajari teknik pembedahan tersebut.
Selain daripada itu, pelbagai kajian perubatan berimpak tinggi dapat dijalankan dan dapat diterbitkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa, jelas beliau.
“Dengan adanya teknologi pembedahan robotik, ia akan menjadikan Fakulti Perubatan UKM sebagai pusat latihan dan pensijilan kepada pakar bedah dalam dan luar negara yang ingin memulakan perkhidmatan ROSA robotik di hospital mereka.
”Teknologi pembedahan gantian sendi lutut secara robotik yang canggih ini akan menjadi era baharu dalam perawatan pesakit yang menderita sakit sendi lutut. Ia juga akan memberikan kebaikan kepada semua pihak khususnya kepada pesakit dan pakar–pakar ortopedik, dan secara amnya kepada HCTM , Fakulti Perubatan dan UKM,” tambahnya.
Menurut Dr Nor Hamdan, HCTM menyediakan perkhidmatan pembedahan gantian sendi lutut secara robotik kepada pesakit osteoarthritis dan penyakit sendi degeneratif yang lain. Sistem robotik ROSA dipinjamkan dan ditempatkan di dewan bedah HCTM selama dua tahun menerusi satu memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat Zimmer Medical (M) Sdn Bhd.