Pembukaan UKM Qatar Bukti UKM Cemerlang di Persada Antarabangsa

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Mei 2024 – Pembukaan Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha, Qatar (UKM Qatar) yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin membuktikan kecemerlangan UKM di persada antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak berkata beliau berbangga dengan kejayaan UKM membuka kampus di Qatar kerana kejayaan itu telah meletakkan UKM sebaris dengan universiti-universiti tersohor di dunia.

“Bukan mudah kerajaan Qatar membenarkan sesebuah universiti luar menubuhkan kampus pesisirnya di sini (Qatar), tetapi UKM berjaya memperoleh kepercayaan ini atas dasar kecemerlangan yang terbukti melalui penarafan dunia,” katanya pada majlis Perasmian Pembukaan UKM Qatar, kelmarin.

Katanya, kerajaan Qatar juga turut memberi tawaran dan kepercayaan kepada UKM untuk menubuhkan hospital UKM dan penawaran program perubatan di sini.

“Sebagai mantan Profesor dalam bidang perubatan, tawaran menubuhkan hospital UKM di Qatar ini bukan hanya memberi peluang kepada pakar-pakar kita (UKM) mempraktikkan kepakaran masing-masing, tetapi memberi peluang lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di sini dan tentunya meningkatkan kemandirian kewangan UKM,” kata Dr. Mohamad yang juga merupakan alumni UKM yang pertama yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Pengerusi LPU UKM.

Ahli LPU UKM, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata sebagai ahli LPU, saya menyokong penuh penubuhan kampus pesisir UKM Qatar.

“Ini membuktikan UKM bukan lagi sebuah “Universiti Kampung”, pengiktirafan dan kejayaan yang diperolehi diperingkat antarabangsa menunjukkan keyakinan masyarakat antarabangsa mengiktiraf universiti watan ini,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Canselor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia khasnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah banyak memberi sokongan dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Menurut beliau, pembukaan kampus UKM Qatar ini adalah langkah dan komitmen UKM yang teguh dalam mengantarabangsakan pendidikan tinggi, sejajar dengan aspirasi KPT untuk meningkatkan kedudukan akademik negara di peringkat global.

Melalui kampus ini, UKM akan menawarkan lima program pengajian iaitu Sarjana Muda Sains Komputer, Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Sarjana Muda Sains Aktuari dan Sarjana Muda Perakaunan yang akan memulakan sesi pengajian pada Oktobr ini. Pelajar yang dipilih adalah dari Negara-Negara Kerjasama Teluk (GCC), warganegara Qatar, serta ekspatriat di Qatar.

Leave a Reply