Penerima Anugerah Emas Kedoktoran Cipta Inovasi Hidrogel Rawat Luka Kronik

Oleh Alany Fatini 
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 23 November 2024 — Penyelidikan inovatif oleh seorang pelajar Doktor Falsafah dari Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (CTERM), Fakulti Perubatan berjaya mencipta pembalut luka hidrogel bagi merawat luka kronik seperti penyakit luka akibat kencing manis.

Inovasi ini menggunakan bahan semula jadi seperti gelatin yang berasaskan tulang kerbau serta ‘polyvinyl alcohol’ (PVA) dan juga ‘genipin’ yang merupakan sejenis tumbuhan.

Dr. Nor Syafira Masri, 27, penerima Anugerah Emas Kedoktoran pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52, menggunakan teknologi terkini iaitu biopercetakan-3D yang masih baharu di Malaysia.

Bagi menghasilkan formulasi tersebut, pelbagai kajian lanjutan telah pun dijalankan sehingga ke peringkat kajian haiwan (vivo) dan telah menunjukkan penyembuhan luka kronik yang positif seawal 17 hari, jelasnya.

“Pesakit kencing manis semakin meningkat bukan setakat di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Luka kencing manis ini susah untuk sembuh dan terdapat banyak komplikasi pada tahap maksimal seperti potongan kaki.

“Jadi kita buat satu produk yang mudah dan cepat sekaligus efektif dengan hanya membuat hidrogel dan kita akan tampal di kawasan luka tersebut. Kulit-kulit baharu akan menjana semula, ini yang dimaksudkan sebagai perubatan regeneratif,” kata Nor Syafira.

Menurut beliau, hasil kajian ini telah di patenkan bersama UKM untuk tujuan pengkomersialan pada masa akan datang.

Kajian ini telah dijalankan dengan sokongan penyelianya, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Mh Busra bersama Dr. Manira Maarof.

Kini, Nor Syafira sedang menjalani Pasca Doktoral di Fakulti Pergigian UKM bagi mengembangkan aplikasi kajian ke bahagian pergigian.

“Saya berharap satu hari nanti, produk ini boleh membantu ramai orang terutamanya kepada mereka yang menghidap luka kronik,” katanya.

Menyentuh mengenai kunci kejayaannya, beliau berkata belajar itu adalah satu pelaburan supaya kita boleh menikmati kejayaan itu selamanya.

Selain daripada kejayaan akademiknya, Nor Syafira juga turut aktif di media sosial terutamanya di TikTok, di mana beliau berkongsi tips-tips untuk pelajar yang sedang menyiapkan kajian mereka.

Beliau juga berkongsi segala perihal yang telah dilaluinya supaya lebih dekat dengan audiens terutamanya kepada para pelajar.

“Boleh jadi content creator (pencipta kandungan), tetapi jadilah content creator yang berilmu,” kata Nor Syafira.

Leave a Reply