Oleh dan Foto Murniati Abu Karim
CHERAS, 10 Oktober 2023 – Hari Bersama Media anjuran Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) memberi peluang dan pendedahan kepada pengamal media berkenaan dunia forensik.
Pengarah HCTM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin berkata, Hari Bersama Media membawakan konsep berbeza kerana ini kali pertama pengamal media diberi akses ke bilik forensik dan bilik penyimpanan mayat.
“Saya berharap program yang direncanakan pada hari ini memberikan pengalaman luar biasa dan ilmu baharu kepada rakan-rakan media,” katanya.
Pada program ini, pengamal media berpeluang untuk menyusun tulang manusia dan diajar teknik-teknik jahitan yang digunakan ketika pembedahan.
Program ini turut menampilkan Pensyarah dan Pakar Perunding Forensik, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik Prof. Dr. Faridah Mohd. Nor yang berkongsi pengalamannya mengendalikan bedah siasat kes jenayah berprofil tinggi negara.
Dr. Razman berharap agar kolaborasi bersama media dapat diteruskan dan pihaknya sentiasa bersedia untuk menyumbang kepakaran dari segi nasihat, pandangan berkaitan isu semasa, serta penyebaran ilmu perubatan dan kesihatan.
Tambahnya, program ini adalah penghargaan kepada pengamal media dalam menyampaikan maklumat kesihatan kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Perkongsian maklumat kesihatan oleh pakar-pakar kami berjaya disampaikan ke segenap lapisan masyarakat dengan adanya bantuan kepakaran pengamal media yang mahir dalam menterjemah maklumat kesihatan agar mudah difahami oleh masyarakat.
“Saya sangat mengalukan-alukan rakan-rakan media dalam bertanyakan soalan namun pada masa yang sama, saya berharap rakan-rakan media dapat melalui saluran yang betul dengan memaklumkan kepada Unit Komunikasi Korporat dan Media, Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan,” katanya.