Pengerusi LPU Terima Anugerah Fellowship Ad Hominem, RCSEd

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2024 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abdul Razak menerima anugerah Fellowship Ad Hominem pada majlis Penganugerahan Diploma Royal Collage of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) yang diadakan di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden RCSEd, Profesor Rowan Parks.

Prof Emeritus Dato’ Dr Mohamad yang menzahirkan ucapan terima kasih  tidak terhingga atas penganugerahan tersebut berkata sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, beliau sangat menjunjung tinggi anugerah dan penghormatan yang telah diberikan ini.

“UKM dan RCSEd mempunyai sejarah yang panjang seperti ‘senarai menunggu di hospital’ kerana pada 50 tahun yang lalu, pengumuman penubuhan Fakulti Perubatan UKM telah dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak semasa majlis makan malam kolej di Edinburgh.

“Jadi, penganugerahan ini adalah sangat bermakna kepada saya, terutamanya UKM yang telah menyediakan segala kemudahan perkhidmatan perubatan sepanjang saya belajar dan berkhidmat di sini,” katanya.

Beliau berharap agar hubungan antara RCSEd dan UKM akan terus berkekalan dan saling memberi faedah antara satu sama lain, seperti ‘preskripsi ubat’ yang tidak pernah luput.

Prof Emeritus Dato’ Dr Mohamad menerima anugerah tersebut kerana telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang perubatan terutamanya pembedahan ortopedik.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang perubatan, akademik dan pentadbiran itu merupakan alumni sulung Fakulti Perubatan UKM.

Anugerah Fellowship Ad Hominem adalah antara anugerah tertinggi yang diberikan oleh RCSEd kepada pengamal perubatan yang masih berkhidmat atau bersara, mahu pun mana-mana individu yang layak.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga menerima anugerah ini pada Oktober 2017.

Hadir sama ke majlis penganugerahan itu adalah Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj Toriman dan Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah RCSEd Malaysia.

Leave a Reply