Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 26 Mei 2023 – Pensyarah baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diingatkan untuk menjalankan program, penyelidikan dan penyampaian ilmu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohamad Kassim berkata perkara itu sentiasa dilakukan oleh pihak pengurusan UKM yang mahukan percambahan ilmu dan penyelidikan yang dilakukan dapat dikongsi bersama masyarakat.
“Selain dari bidang penyelidikan, kita juga telah menawarkan kursus-kursus jangka pendek termasuk program APEL yang dapat memberi manfaat kepada mereka (masyarakat) yang tidak mempunyai masa untuk menyambung pengajian untuk program sepenuh masa.
“Jadi, kita tawarkan kursus-kursus jangka pendek dan kursus profesional kepada mereka bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada Program Akademia Kalis Masa Hadapan, di Auditorium Teknologi Multimedia Fusion, Akademia Siber Teknopolis, di sini.
Selain itu, beliau juga turut mengingatkan pensyarah-pensyarah muda untuk bekerja dalam pasukan.
“Teamwork juga adalah sangat penting. Kamu semua perlu ambil peluang untuk bersama-sama dengan rakan-rakan senior untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman.
“Kena ada rakan yang boleh berkongsi hasil, bukan untuk menumpang kepakaran tetapi setiap orang ada kepakaran tersendiri.
“Jadi, sumbanglah kepakaran itu dan satukan bidang-bidang yang berbeza untuk membantu tuntutan-tuntutan penyelidikan dan penerbitan kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu membina karier kita,” tambahnya lagi.
Beliau berkata dalam konteks sebagai seorang ahli akademik, pensyarah perlu meletakkan diri mereka sebagai manusia pemikir.
“Ini adalah perkara pokok yang perlu kita hayati untuk menjadi seorang ahli akademik yang bagus.
“Walaupun dalam konteks hari ini kita sering diwarwarkan untuk melakukan penerbitan, tetapi itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tuntutan kita sebagai seoang manusia pemikir kerana fokus utama kita nanti adalah menjadi seorang yang memberi ilmu, yang menyumbang dan membantu pelajar-pelajar kita untuk mengembangkan ilmu,” kata Prof. Dr Mohamad. Program yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan (Profesional-UKM) dihadiri oleh 63 pensyarah baharu, dan dikendalikan oleh Pensyarah Fakukti Pendidikan, Dr. Syar Meeze Mohd Rashid.