Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 25 Julai 2024 – Pasukan Pensyarah Institut Informatik Visual (IVI) yang diketuai Prof. Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir oleh telah membangunkan enam modul pembelajaran yang berkaitan dengan bidang kecerdasan buatan (AI) bagi kecekapan peserta Program AI Summer Camp.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani berkata modul pembelajaran yang merangkumi robotik, pembangunan chatbot, analitik data, Virtual Reality (VR), dan lain-lain itu akan dapat membantu meningkatkan kecekapan peserta dalam bertindak balas terhadap keperluan pasaran dan berupaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal khususnya teknologi AI untuk menangani masalah pasaran pekerjaan.
“Peserta program ini bakal dipersiapkan dengan kemahiran teknologi AI terkini yang menjadi nilai tambah para graduan dari pelbagai bidang dan seterusnnya menepati trend keperluan industri kepada para graduan khususnya mahasiswa dan mahasiswi Perlis untuk melangkah keluar mencari pekerjaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Program AI Summer Camp 2024, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata pembelajaran berterusan dan pembangunan kemahiran dalam kepelbagaian bidang khususnya bidang AI yang akan menjadi sebahagian daripada kehidupan pada masa ini.
“Dengan itu, adalah sangat penting untuk melengkapkan para graduan dengan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang mampu memacu pertumbuhan, kemakmuran dan kemajuan negara kita yang tercinta,” katanya.
Menurut beliau UKM sentiasa menyokong segala usaha yang berperanan untuk meningkatkan kemahiran melalui program reskilling dan upskilling yang mampu meningkatkan kebolehpasaran bakal graduan yang sedang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi.
Melalui program yang dianjurkan bersama antara Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCOEE) dengan beberapa universiti awam lain termasuk UKM, ia mengukuhkan lagi kolaborasi antara UKM dan FCOEEC yang melibatkan perkongsian dan peningkatan ilmu dalam bidang teknologi AI dalam kalangan siswa-siswi Perlis diseluruh negara.
“UKM melihat perkembangan ini sebagai satu indikator yang positif ke arah memantapkan pendidikan negara dan menjadikannya ia sebagai kerjasama pintar (smart partnership) dalam pendidikan negara.
“Perkembangan teknologi ini juga haruslah selari dengan pertumbuhan fizikal. Semoga semua mendapat manafaat dari hasil usaha yang dijalankan dan dapat membantu perkembagan kerjaya pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengerusi FCOEE, Prof. Emeritus Dato’ Dr Kamaruddin Hussin berkata program AI Summer Camp 09-University Tour ini dirancang eksklusif buat anak-anak Perlis yang menuntut di universiti seluruh Malaysia dengan objektif utama bagi meningkatkan kemahiran dan kesediaan siswa-siswi selepas tamat pengajian.
“Saya amat berharap kebersamaan kita pada hari ini dapat mengukuhkan jaringan bagi membangunkan anak bangsa kita,” katanya.