Pensyarah Perubatan UKM Pamer Karya Lukisan di Royal Lancaster London

Oleh Asmahanim Amir
Foto Dr Fitri Fareez Ramli

LONDON, 2 Julai 2024 – Pensyarah Perubatan, Dr Fitri Fareez Ramli yang kini sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom tidak melepaskan peluang mempamerkan karya lukisan beliau di Royal Lancaster London, melalui program Salam Dari Malaysia, baru-baru ini.

Beliau menerima undangan daripada TalentCorp, yang merupakan sebulan agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi mempamerkan sembilan hasil seni lukisannya dari koleksi Kembara dan Suratan.

Dr Fitri Fareez berkata pameran tersebut adalah pameran ke lapan beliau di United Kingdom sejak menjejakkan kaki di negara tersebut pada Oktober 2021 bagi melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah.

“Sebelum ini, saya telah diberikan peluang untuk mempamerkan karya-karya lukisan di beberapa tempat, termasuk National Army Museum London, Royal Lancaster London, University of Oxford (St Cross College dan Jabatan Psikiatri), dan Education Malaysia London.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka dengan peluang yang saya peroleh sepanjang berada di United Kingdom.

“Pada mulanya, saya kembali melukis hanya kerana mahu mengurangkan tekanan. Saya berasa amat bersyukur kepada Allah atas peluang yang dikurniakan.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang membuka peluang ini terutamanya ibu saya, Puan Raja Fawziah dan bapa, Encik Ramli yang sentiasa memberikan sokongan terhadap minat saya sejak dari kecil,” katanya.

Beliau berharap agar beliau dapat meneruskan minat melukis di masa hadapan jika mempunyai kelapangan setelah kembali bertugas sebagai Pensyarah di UKM nanti.

“Jika mempunyai kesempatan, saya juga ini mendalami bidang terapi seni (art therapy), yang dapat membantu seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk mengekspresikan emosi dan mengurangkan tekanan.

“Karya-karya lukisan yang saya hasilkan ini seringkali dikepilkan dengan naratif yang membawa unsur-unsur identiti dan kesihatan mental,” jelasnya.

Pameran yang dianjurkan oleh TalentCorp dengan kerjasama British Malaysian Society (BMS) dan Malaysian Association of Postgraduates and Professionals (MAPP) itu bertujuan untuk membina rangkaian dan hubungan yang bermakna dan mengekalkan hubungan dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Pameran tersebut dirasmikan oleh Menteri KESUMA, YB Steven Sim Chee Keong. Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, TYT Dato’ Zakri Jaafar.

Pada bulan Mac yang lepas, Dr Fitri Fareez yang merupakan Pensyarah Perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan UKM telah dianugerahkan ‘Race Equality Recognition Award 2024’ oleh Jabatan Psikiatri, University of Oxford bagi lukisan-lukisan beliau yang menerapkan tema dan pesanan berkaitan kesihatan mental bagi meningkatkan kesedaran awam.

Anugerah itu diberikan selepas beliau diundang oleh Jabatan Psikiatri, University of Oxford bagi mempamerkan karya-karyanya dari bulan November 2023 sehingga Februari 2024.

Beliau kini merupakan pelajar Doktor Falsafah tahun tiga bidang Psikiatri di University of Oxford di bawah tajaan Yayasan Khazanah dan UKM.

Leave a Reply