Penubuhan KPU Jadi Platform Penyelidikan Rentas Disiplin

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 Ogos 2024 – Penubuhan Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) yang mengetengahkan penyelidikan Gegar Gamat akan menjadi platform kepada penyelidik dari pelbagai bidang merentas disiplin, kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani.

Beliau berkata penubuhan kumpulan itu juga akan menggiatkan lagi penyelidikan dalam bidang berkenaan selaras dengan salah satu fokus utama pelan pendidikan tinggi yang telah dikongsikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi semasa amanat tahun 2024 iaitu Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi dalam usaha memajukan penyelidikan yang memberi manfaat kepada negara.

“Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada 37 Kumpulan Penyelidikan yang berjaya ditubuhkan bagi fasa dua ini.

“Diharapkan dengan terbentuknya Kumpulan Penyelidikan UKM, beserta dengan 58 kumpulan pada fasa pertama, ekosistem penyelidikan UKM akan bertambah aktif dengan pelbagai projek penyelidikan berbentuk translasi ke arah inovasi sosial,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penganugerahan Pengiktirafan Penyelidik Dan Pelancaran Buku Gegar  Gamat Pemacu Inovasi UKM, di sini, baru-baru ini.

Katanya, impak penyelidikan yang terhasil dari KPU ini juga diharap dapat disalurkan kepada pihak berkepentingan, masyarakat, industri dan kerajaan sejajar dengan salah satu landasan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 iaitu hasil penyelidikan dan keilmuan yang dijana di institut pendidikan tinggi (IPT) dipulangkan semula kepada masyarakat dalam bentuk yang memberi manfaat dan kebaikan supaya limpahan manfaat tidak hanya dirasai oleh warga IPT, malah turut dinikmati oleh industri dan komuniti selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Beliau berkata inisiatif Pusat IDEA dalam usaha mengiktiraf projek-projek penyelidikan berimpak tinggi yang dinamakan Gegar Gamat Pemacu Perubahan perlu diberi penghargaan memandangkan usaha ini mampu memberi semangat kepada penyelidik dalam menghasilkan penyelidikan berimpak yang berkualiti.

“Pengiktirafan mengikut penarafan bintang yang berlainan, memaparkan aras impak sesuatu projek penyelidikan dan ini seterusnya memberikan lebih semangat kepada penyelidik bagi mencapai aras yang lebih tinggi, dengan impak yang lebih luas.

“Syabas saya ucapkan kepada Pusat IDEA dan 12 ketua projek serta projek penyelidikan yang mendapat pengiktirafan sebagai Projek Gegar Gamat Pemacu Perubahan UKM yang telah melalui penilaian yang ketat oleh pakar bidang, termasuklah dari luar UKM,” katanya.

Pada majlis itu juga, beliau turut melancarkan buku Penyelidikan Gegar Gamat Pemacu Inovasi UKM. Buku yang mengetengahkan penyelidikan  translasi dan multidisiplin ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan komprehensif untuk penyelidik.

Projek-projek yang dikenalpasti dan diketengahkan dalam buku ini telah dijalankan oleh penyelidik UKM dengan kerjasama rakan kolaborasi dari pelbagai bidang dan telah mencapai hasil yang dapat dimanfaatkan oleh pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, industri, dan masyarakat.

Leave a Reply