Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
KUALA LUMPR, 15 Disember 2023 – Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Pusat Teknologi & Pengurusan Perisian, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Prof Madya Dr Tengku Siti Meriam Tengku Wook telah membangunkan Sistem Metaverse Galeri REKA atau dikenali sebagai METTAREKA yang digunakan di Balai Seni Negara, di sini.
METTAREKA adalah platform inovatif yang menyepadukan teknologi imersif bagi membolehkan pengguna menyelami sejarah pelayaran Asia Tenggara pada abad ke-15 melalui pendekatan digital.
Menurut Prof Madya Dr Tengku Siti Meriam, METTAREKA merupakan persekitaran maya yang direka untuk memudahkan pengguna menyelami dan terlibat dengan sejarah pelayaran Asia Tenggara pada abad ke-15, menggabungkan unsur metaverse, realiti maya dan penceritaan digital.
“Sistem ini mengaplikasi teknologi metaversedalam domain pendidikan menggabungkan ciri penting metaverse iaitu gabungan realiti yang dipertingkatkan secara maya dan ruang maya yang berterusan secara fizikal.
“Pendekatan ini memudahkan interaksi masa nyata melalui identiti digital seperti avatar dan sumber pembelajaran maya, menggunakan peranti boleh pakai pintar dan rangkaian berkelajuan tinggi, bertujuan untuk memupuk interaksi masa nyata dengan pelbagai entiti digital,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan antara UKM dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, semalam.
Oleh itu, katanya, pengguna boleh melihat maklumat visual dalam format naratif, memanipulasi kandungan 3D dan berinteraksi secara kolaboratif dengan pengguna yang lain melalui penggunaan set kepala realiti maya.
“Pembangunan avatar 3D yang mewakili Panglima Awang, seorang pelayar yang terkenal dalam abad ke-15 turut direka bentuk untuk menghidupkan penceritaan pelayaran secara digital,” tambah beliau.
Selain daripada itu, beliau berkata platform tersebut membolehkan pengguna menavigasi ruang galeri Balai Seni Negara secara 360 darjah dan merasai pengalaman berada di atas kapal Trinidad secara maya.
“Penyelidikan ini menumpukan pada aspek interaksi kolaboratif, yang bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna dalam memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang sejarah pelayaran di Asia Tenggara secara interaktif dan menyeronokkan.
Pada masa yang sama, penyelidikan ini berusaha memanfaatkan teknologi realiti maya sebagai saluran untuk mempamerkan warisan seni visual negara pada skala global,” katanya.
METTAREKA yang digunakan di Balai Seni Negara telah membawa kepada pemeteraian Perjanjian Penyelidikan antara UKM dengan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).
Memorandum Perjanjian Penyelidikan itu ditandatangi oleh Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid yang mewakili UKM dan Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad mewakili LPSVN.