Perayaan Aidilfitri: Sikap Pemandu Penentu Keselamatan Jalan Raya

Oleh Dr Nurrul Hafeezah Sahak, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia

Cuaca, keadaan jalan, kenderaan dan sikap pemandu memainkan peranan penting dalam keselamatan jalan raya. Namun, berdasarkan laporan dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah berpunca dari sikap pemandu. Mengantuk, keletihan, pemanduan agresif, cuai dan leka, merupakan antara faktor-faktor terjadinya kemalangan jalan raya sepanjang pelaksanaan Op Selamat ke 22 sempena sambutan perayaan Aidilfitri tahun 2024.

Amalan menziarahi ketika musim perayaan Aidilfitri merupakan satu amalan rakyat Malaysia yang terpuji. Namun ia mempengaruhi peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus membawa kepada risiko kemalangan yang lebih tinggi semasa tempoh perayaan. Semasa sambutan perayaan Aidilfitri 2024, sebanyak 14,394 kemalangan jalan raya dicatatkan dalam tempoh tujuh hari Op Selamat dilaksanakan, dimana 134 kematian direkodkan. Secara purata, statistik ini menunjukkan sebanyak 86 kemalangan berlaku dalam tempoh sejam.

Walaupun pelbagai kempen keselamatan giat dijalankan oleh pihak berkuasa sebagai satu inisiatif mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, namun kesedaran menjaga keselamatan semasa di jalan raya memerlukan komitmen dari semua pengguna jalan raya. Sebanyak 16,000 kesalahan melanggar peraturan jalan raya dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam tempoh Op Selamat 22 dilaksanakan. Oleh itu, pengguna jalan raya disarankan untuk mengawal emosi dan tidak terburu-buru untuk cepat sampai ke destinasi. Berhemah dalam pemanduan amat digalakkan dengan mengutamakan keselamatan berbanding keinginan untuk cepat sampai.

Kesabaran ketika memandu amat penting untuk keselamatan jalan raya, terutama dalam musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan. Pemandu perlu sabar dan tidak memandu secara agresif ketika menukar lorong. Risiko pelanggaran boleh terjadi jika kenderaan atau motosikal di lorong sebelah berada dalam titik buta. Sebelum menukar lorong pemandu disarankan untuk memeriksa cermin sisi dan titik buta. Penggunaan isyarat membelok (signal) amatlah penting sebelum menukar lorong dan elakkan menukar lorong secara tiba-tiba hanya kerana mahu cepat.

Faktor keletihan dan mengantuk juga menjadi faktor peningkatan kadar kemalangan jalan raya terutamanya ketika musim perayaan. Dalam kesibukan dengan aktiviti ziarah, kebanyakan pemandu memilih untuk memandu dalam keadaan kurang rehat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Keadaan ini menyebabkan tahap kepekaan pemandu terhadap persekitaran jalan raya menurun dan sekaligus meningkatkan risiko berlakunya kemalangan. Sehubungan dengan itu, pemandu yang bercadang untuk memandu jauh dinasihatkan berehat sekurang-kurangnya setiap dua jam pemanduan untuk mengelakkan keletihan.

Selain itu, pemandu dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal. Untuk mengelakkan stres di jalan raya, perancangan yang bijak sangat penting. Disarankan semak ramalan traffik melalui aplikasi seperti Waze, Google Maps atau laporan trafik terkini dari PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mengelakkan terlibat dalam kesesakan teruk. Perjalanan di waktu puncak memang mencabar, tetapi dengan perancangan yang betul, pemandu boleh mengelakkan risiko stres dan kemalangan.

Pemandu yang leka menggunakan telefon ketika memandu juga boleh meningkatkan kadar kemalangan jalan raya. Peratusan konsentrasi pemandu yang menggunakan telefon ketika memandu berkurangan sehingga 70 peratus. Situasi ini membahayakan bukan sahaja membahayakan pemandu, tetapi juga penumpang serta pengguna jalan raya yang lain. Dengan hilang konsentrasi semasa memandu, risiko terlibat dalam kemalangan adalah empat kali berbanding pemandu yang menumpukan perhatian tanpa penggunaan telefon.

Sebagai kesimpulan, keselamatan jalan raya semasa Aidilfitri bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang tetapi juga sikap pengguna jalan raya sendiri. Pemandu perlu lebih bertanggungjawab, mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain. Hari raya adalah masa untuk berkumpul bersama keluarga tersayang, tetapi ingatlah bahawa perjalanan ke destinasi juga perlu selamat. Selamat sampai ke destinasi dan selamat kembali.

Leave a Reply