Perdana Menteri Rasmikan Kampus UKM Qatar

Oleh Shafizza Saidon dan Azril Omar
Foto Ikhwan Hashim

DOHA, 14 Mei 2024 -Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini merasmikan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha, Qatar.

Perdana Menteri dalam satu hantaran di media sosial memaklumkan bahawa  pembukaan bersejarah Kampus UKM Qatar itu telah meletakkan status pengajian tinggi negara di pentas dunia.

Katanya UKM mengorak langkah yang unik dengan pembukaan kampus tersebut apatah lagi universiti itu bermula sebagai sebuah institusi pengajian awam Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

“Sebagai salah seorang yang menandatangani memorandum mendesak penubuhan sebuah universiti awam yang berteraskan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, saya berasa bangga untuk bersama-sama warga UKM di hari yang gemilang ini,” kata beliau.

Beliau berharap agar langkah dirintis UKM itu akan membuka laluan lebih luas dan besar kepada universiti awam Malaysia yang lain untuk mengorak langkah serupa selepas ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekwan Toriman di atas kejayaan tersebut.

Sementara itu, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan berkata penubuhan UKM Qatar merupakan suatu pencapaian bersejarah bagi universiti itu yang menjadi universiti awam Malaysia pertama yang membuka cawangan di Qatar.

Buat masa ini, katanya pemilihan tenaga pengajar di UKM Qatar terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari UKM dan pihak universiti menjangkakan dapat memenuhi antara 20 hingga 30 pelajar bagi setiap program yang ditawarkan di UKM Qatar.

Silibus bagi kelima-lima program yang ditawarkan di UKM Qatar adalah sama dengan program-program yang sedia ada di kampus induk di Malaysia.

“Langkah ini menunjukkan komitmen UKM yang teguh dalam mengantarabangsakan pendidikan tinggi, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk meningkatkan kedudukan akademik negara di peringkat global,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, beliau berkata UKM akan menawarkan lima program pengajian iaitu Sarjana Muda Sains Komputer, Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Sarjana Muda Sains Aktuari dan Sarjana Muda Perakaunan, dengan pelajar yang dipilih adalah dari Negara-Negara Kerjasama Teluk (GCC), warganegara Qatar, serta ekspatriat di negara Qatar.

Kampus yang terletak di Lusail City, Qatar ini bakal membuka pendaftaran pelajar sulung pada Oktober ini bagi sesi akademik 2024/2025.

UKM Qatar telah ditubuhkan di Qatar pada tahun 2023 di bawah naungan Sheikh Abdul Rahman Khalifa Abdulaziz Al Thani. Penubuhan universiti itu adalah dalam konteks aspirasi masyarakat kontemporari di Qatar dan negara-negara GCC, untuk kemakmuran masyarakat di semua peringkat, di mana pendidikan berkualiti adalah tiang terpenting.

Majlis pelancaran UKM Qatar tersebut turut dihadiri oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke Qatar, TYT Zamshari Shaharan dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak.

Leave a Reply