Oleh Aina Umairah Muhammad Dhalan
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 1 Disember 2022 – Graduan Ijazah Doktor Falsafah dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Mohamad Rohieszan Ramdan menjalankan kajian bagi memperkasakan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menguasai platform digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif.
Penerima Anugerah Emas Kedoktoran ini menyediakan penyelesaian kepada PKS untuk mempromosikan jualan mereka melalui platform digital seperti Shopee dan Lazada dengan menggunakan kaedah yang betul.
“Hasil penyelidikan ini telah menjadi rujukan penting kepada PKS untuk mewujudkan elemen penting dalam organisasi kerana PKS penyumbang utama dalam ekonomi negara.
“Kesan pandemik COVID-19 mempengaruhi kajian ini kerana penggunaan platform digital sudah diterapkan kepada PKS. Sedikit sebanyak, perkara ini telah membantu menyumbangkan kepada dapatan kajian.
“Selain itu, kepentingan menerapkan kemahiran digital dalam sistem pendidikan untuk membina tenaga kerja tersedia yang selaras dengan aspirasi MyDIGITAL dalam era Revolusi Industri 4.0.
“Dalam usaha memperkukuh pendigitalan PKS, peruntukan besar turut diberikan oleh kerajaan dalam pendigitalan yang lebih berkualiti.” katanya.
Rentetan penyelidikannya, beliau bakal menerbitkan sebuah buku yang bertajuk ‘Anda nak Berniaga, Tapi Tak Tahu Cara?’ untuk menjadi rujukan para usahawan kecil dan sederhana yang ingin berkecimpung dalam pemasaran digital. Beliau berharap agar kajian dan penerbitan bukunya memberi impak positif dan peluang yang cerah kepada PKS pada masa akan datang