Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
Ipoh (PERAK), 27 Februari 2025 – Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-17 (PERKEM 17), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi platform ilmiah terbaik bagi membincangkan cabaran dalam melaksanakan pengukuhan ekonomi dalam era pergolakan global.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata bertepatan dengan ketidaktentuan ekonomi dan politik yang melanda dunia pada ketika ini, tema PERKEM 17 iaitu Memperkukuh Ketahanan Ekonomi Malaysia dalam Era Pergolakan Global dengan aspek ketahanan dan keterangkuman dalam pengukuhan ekonomi negara sebagai tunjang perbincangan adalah sangat releven.
“Pergolakan ekonomi dan politik global telah mewujudkan suasana ketidakpastian ekonomi yang tinggi dan mampu mencetuskan pelbagai krisis seperti krisis bekalan makanan, tekanan inflasi dan krisis kemanusiaan yang lain,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian PERKEM 17, di Casuarina@Meru, Ipoh, baru-baru ini.
Beliau berkata PERKEM 17 meneruskan kelangsungan dengan menyediakan platform diskusi akademik dan intelektual kepada semua pihak termasuk para penyelidik, pentadbir, pembuat dasar, pihak swasta, rakan industri dan semua pihak yang berminat untuk sama-sama berkongsi ilmu dalam memperkukuh lagi dasar dan program pembangunan negara.
Kira-kira 200 orang peserta yang terdiri daripada pembentang kertas kerja, rakan industri dan badan kerajaan yang menyertai persidangan pastinya memberi satu peluang dan ruang perkembangan ilmu ekonomi dalam mendepani cabaran semasa.
Sebanyak 71 kertas kerja dibentangkan sepanjang persidangan ini yang melibatkan pembentang bukan sahaja daripada Malaysia tetapi turut disertai oleh pembentang daripada Indonesia dan China.
Ucaptama PERKEM disampaikan oleh Timbalan President Akademik yang merupakan Dekan School of Graduate and Professional Studies INCEIF University, Prof. Dr. Mansor H Ibrahim dengan tajuk Islamic Banking amid Geopolitical Risk.
