BANGI, 31 Disember 2024 – Inovasi Bloomind iaitu permainan papan inovatif yang dihasilkan oleh sekumpulan pelajar Pusat PERMATA@Pintar Negara telah memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi pendidikan, International Future Scientist Conference (iFSC) 2024 yang diadakan di Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Pakar Psikologi Sukan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Nurwina Akmal Anuar berkata inovasi Bloomind adalah salah satu sokongan kepada Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan kesihatan mental dan kecerdasan emosi dalam kalangan generasi muda Malaysia.
Beliau berkata dengan permainan papan inovatif Bloomind, masalah literasi emosi dalam kalangan pelajar Malaysia kini boleh diatasi dengan lebih berkesan.
“Dengan menggabungkan pembelajaran berasaskan permainan dengan fokus pada kecerdasan emosi, Bloomind menawarkan pendekatan yang inovatif dan berkesan untuk menangani cabaran emosi yang dihadapi oleh pelajar hari ini, sekaligus menyediakan mereka dengan kemahiran penting untuk masa depan,” katanya.
Menurutnya, kemenangan itu bukan sahaja mengiktiraf kreativiti dan usaha para pelajar yang membangunkan Bloomind, tetapi juga menunjukkan potensi besar permainan tersebut dalam arena pendidikan global.
“Dengan kejayaan ini, Bloomind kini sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan dijangka akan digunakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dalam masa terdekat.
“Kami berharap Bloomind akan menjadi alat penting dalam meningkatkan kesihatan mental dan kecerdasan emosi dalam kalangan generasi muda Malaysia,” katanya.
Dr Nurwina berharap agar Bloomind akan menjadi alat pendidikan penting dalam meningkatkan kesihatan mental dan kecerdasan emosi di kalangan generasi muda Malaysia.
“Adalah penting untuk kita melabur dalam alat pembelajaran seperti Bloomind ini kerana ia boleh membantu pelajar kita menghadapi cabaran emosi dengan lebih baik, seterusnya membentuk generasi yang lebih berdaya tahan dan berkemahiran sosial tinggi,” katanya.
Tambah beliau, Bloomind kini sedang dalam proses alih bahasa untuk dikomersialkan di dalam dan luar begara, dan dijangka akan digunakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dalam masa terdekat.
Katanya, sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar di Malaysia menghadapi kesukaran dalam memahami dan mengurus emosi yang boleh membawa kepada pelbagai masalah psikologi dan sosial.
Keprihatinan Dr Nurwina dalam silibus Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) di sekolah-sekolah di Malaysia yang menekankan tentang aspek emosi, menjadi kekuatan untuk terus kepada pembangunan inovasi pendidikan ini.
“Bloomind bukan sekadar permainan biasa. Ia adalah alat pengajaran dan pembelajaran yang direka khas untuk membantu pelajar meningkatkan kecerdasan emosi mereka secara interaktif dan menyeronokkan,” katanya.
Tambahnya, permainan itu menggabungkan elemen-elemen Taksonomi Bloom dengan konsep kecerdasan emosi, menawarkan pendekatan yang menarik dan berkesan untuk meningkatkan kemahiran EQ pelajar.
Dalam konteks pendidikan Malaysia, Bloomind menawarkan beberapa manfaat penting seperti membantu meningkatkan literasi emosi, mengembangkan kemahiran sosial, merangsang pemikiran kritikal, meningkatkan motivasi dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat bagi pelajar untuk meneroka dan memahami emosi tanpa rasa takut atau malu.
“Dengan meningkatkan kecerdasan emosi pelajar, Bloomind berpotensi untuk memberi impak positif terhadap kesihatan mental mereka.
“Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi lebih mampu menangani tekanan, kebimbangan, dan kemurungan,” ujarnya.
Papan permainan permainan inovatif Bloomind ini adalah hasil ciptaan bersama Muhammad Hasan Zakariah, Che Saffiyah Anisah Mohd Suffian, Nur Qistina balqis Mohd Feris Halmy dan Nur Alya Nadhirah Abdul Sani bersama guru pembimbing, Puan Azlina Md Azhari.