Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
MELAKA, 20 Disember 2023 – Asian Regional Conference on Systems Biology 2023 (ARCSB 2023) yang menghimpunkan seramai 150 peserta dari dalam dan luar negara menjadi medium perbincangan penyelidikan bioteknologi dan biodiversiti.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani berkata persidangan dwi tahunan itu diadakan bagi menyediakan platform rangkaian dan perbincangan kepada peserta yang terlibat dalam penyelidikan biologi sistem dan sintetik.
Selain itu, katanya persidangan dua hari ini adalah bagi mengadakan perbincangan intelektual mengenai kemajuan dalam penyelidikan biologi sintetik serta menyediakan gerbang rangkaian penyelidikan dalam kalangan penyelidik di rantau ini dengan pakar dari luar negara.
“Hari ini kita menghimpunkan peserta-peserta dari beberapa buah negara seperti Jepun, Thailand, Indonesia dan Malaysia, termasuk pakar-pakar bidang dan hadir memnyampaikan ucap tama dan pembentangan plenary berkualiti tinggi yang merangkumi pelbagai topik termasuk Aplikasi Bioteknologi dalam Biodiversiti, Produk Bio Mampan, Keselamatan Makanan, dan Memperkaya Kesejahteraan dan Penjagaan Kesihatan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian ARCSB 2023 di Swiss Garden Hotel, Melaka, hari ini.
Beliau berharap persidangan itu akan menjadi titik fokus untuk kerjasama antarabangsa dan nasional.
“Hal ini bagi memudahkan perkongsian dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan rakan industri dan menyediakan gerbang rangkaian untuk penyelidikan sistem biologi sintetik,” katanya.
Bertemakan “Modern Biotechnology for Sustainable Development Goals,” ARCSB 2023 adalah persidangan saintifik yang ke-enam dianjurkan oleh Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pada persidangan ini juga, turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian antara UKM dan rakan industri. MoU yang ditandatangani adalah melibatkan UKM dengan Malaysia Natural Products Society dan UKM dengan Anhui China University of Medicine. Manakala MoA pula melibatkan UKM dengan Manipal University College Malaysia dan UKM dengan Taylor University.
Selain itu, turut diadakan adalah pelancaran buku bertajuk “Eksplorasi tumbuhan perubatan dan herba Suku Jahai” yang dihasilkan oleh Pengarah INBIOSIS, Prof. Dr. Syarul Nataqain Baharum.