Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Muhammad Izwan Azman
BANGI, 13 September 2023 – Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2023 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi platform para ilmuan berkongsi kepakaran antara agensi kerajaan, ahli akademik, penggiat dan komuniti bagi mewujudkan garis panduan amalan terbaik dan rekomendasi perlindungan warisan kebudayaan tidak ketara yang bersesuaian.
Bertemakan “Kelestarian Warisan Kebudayaan Tidak Ketara”, persidangan ini adalah bertepatan dengan peranan Malaysia yang telah berjaya menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) untuk sesi 2022-2026.
Keberadaan Malaysia di platform antarabangsa seperti ini dapat membantu meningkatkan identiti dan keserlahan negara dan ia juga menuntut komitmen yang tinggi untuk negara, terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama-sama agensi di bawahnya bagi membantu merangka dasar dan hala tuju pemeliharaan dan perlindungan warisan tidak ketara.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani semasa menyampai ucapan di Majlis Perasmian Penutup Persidangan berkata, Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WKTK) merupakan khazanah penting tinggalan nenek moyang yang melambangkan identiti sesebuah negara, yang harus dipelihara dan dijaga dengan baik untuk generasi akan datang.
“Saya berbangga kerana sehingga tahun 2023, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah berjaya meletakkan nama Malaysia di persada dunia dengan menyenaraikan enam warisan tidak ketara di peringkat UNESCO.
“Warisan tersebut adalah Mak Yong pada tahun 2005, Dondang Sayang pada 2018 dan silat pada 2019. Selain itu, upacara Wangkang atau Festival Wangkang secara multi-nomination dengan negara China pada 2020, Pantun secara multi-nomination dengan negara Indonesia pada 2020 serta Songket pada tahun 2021.
“Sebagai sebuah Universiti Watan, saya merasakan persidangan ini menjadi platform terbaik kepada para penyelidik untuk membuat kajian, dan menjadikan bidang warisan tidak ketara sebagai salah satu bidang kajian dalam penyelidikan untuk kita sama-sama menjaga dan mengekalkan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak yang terlibat dalam pelestarian WKTK dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat umum tentang kepentingan warisan ini dipertahankan dan diwarisi dari generasi ke generasi. “Semoga hasil daripada pembentangan daripada persidangan ini dapat memberi manfaat kepada pihak kerajaan untuk merangka dasar dan hala tuju pemeliharaan dan perlindungan WKTK serta membawa kejayaan kepada agenda pembangunan negara, terutama dalam sektor kebudayaan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.