Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
KUALA LUMPUR, 1 Julai 2024 – National Dental Students Scientific Conference 2024 (NDSSC 2024) anjuran Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia mengumpulkan kira-kira 500 orang pelajar pergigian dari seluruh negara.
NDSSC merupakan acara tahunan peringkat kebangsaan yang dianjurkan secara bergilir oleh setiap Fakulti Pergigian di Malaysia yang merangkumi aktiviti penyelidikan prasiswazah, serta aktiviti pertandingan ilmiah kreatif.
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor berkata persidangan ini mencerminkan usaha universiti untuk mencetuskan idea yang inovatif dan membekalkan minda-minda muda dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa depan dalam bidang pergigian.
“Persidangan ini merupakan sebuah platform yang penting di mana para pelajar dapat berkongsi penemuan saintifik, memperbaharui pengetahuan, dan membina jaringan professional yang kukuh.
“Saya amat berbangga bahawa UKM diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah persidangan ini bagi pihak semua fakulti pergigian di Malaysia.
“Ini adalah satu penghormatan besar dan satu tanggungjawab besar yang kami ambil dengan penuh komitmen dan kesungguhan,” katanya ketika merasmikan persidangan tersebut.
Beliau juga berharap agar para peserta mengambil peluang ini untuk menimba ilmu baharu dan membina hubungan yang bermakna dalam kalangan peserta.
Bertemakan ‘Inspiring Minds Igniting Potentials’ persidangan ini turut menampilkan Pengerusi Institut Jantung Negara, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai pengucaptama.