PKU Buka Unit Fisioterapi, Lancar Aset Baharu

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 12 Ogos 2024 – Bagi menambah nilai perkhidmatan kesihatan kepada warga universiti, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) membuka Unit Fisioterapi baharu serta melancarkan beberapa aset, iaitu van pelbagai guna, mesin x-ray dan kerusi pergigian.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, penubuhan Unit Fisioterapi diharap dapat mengukuhkan peranan dan fungsi PKU dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan pelbagai.

“Unit Fisioterapi ini memudahkan warga kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi untuk mendapatkan rawatan fisioterapi yang dekat dan selesa,” katanya.

Tambahnya, pembelian mesin-xray dan kerusi pergigian, peruntukan ini merupakan sumbangan daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Sebagai salah sebuah pusat tanggungjawab yang telah lama memberi perkhidmatan kesihatan kepada pelajar dan kakitangan UKM, sudah pastilah pelbagai kemudahan, fasiliti dan peralatan yang diguna pakai oleh PKU selama ini memerlukan penaiktarafan, penggantian serta pembaharuan.

“UKM sentiasa menyokong perancangan untuk meningkatkan keupayaan PKU melalui penambahan alat canggih yang sebahagiannya bertujuan menggantikan alat yang telah usang.

“Saya berharap dengan kemudahan ini, akan dapat memastikan para pelajar dan kakitangan UKM terus mendapat perkhidmatan kesihatan terkini dan berkualiti,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak PKU atas segala komitmen dan sumbangan yang diberikan selama ini. Disamping itu, beliau turut menekankan kepentingan kebajikan dan kesihatan warga universiti yang sentiasa diberi perhatian dan keutamaan.

Leave a Reply