Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 12 Januari 2024 – Proses pengundian Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjalan lancar, semalam dengan peratus pengundian adalah sebanyak 61.15 peratus.
Proses pengundian dilakukan sepenuhnya secara dalam talian di ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil yang mengumumkan pemenang bagi PRK di Dewan Gemilang petang semalam merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar UKM kerana telah menunjukkan semangat pilihan raya kampus dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Pada PRK kali ini, sebanyak 40 kerusi dipertandingkan iaitu 13 kerusi Umum dan 27 kerusi Fakulti dengan jumlah keseluruhan calon yang bertanding adalah seramai 75 calon iaitu 27 calon kerusi Umum dan 48 calon kerusi Fakulti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, Muhammad Anwar Nor Azmi berkata PRK kali ini melibatkan persaingan dua penjuru dan membentuk gabungan antara tiga gerakan iaitu gabungan Pro Mahasiswa dan Pendaulat Mahasiswa.
“Walau bagaimanapun, kedua-dua penjuru ini dengan pastinya membawa suara mahasiswa sekaligus membentuk kesatuan yang kompeten.
“Tahniah dan selamat maju jaya kepada bakal pemimpin baharu dan semoga dengan kemenangan ini, setiap daripada anda semua akan meneruskan mewakilkan suara-suara mahasiswa dan berjuang demi hak pelajar UKM,” katanya dalam ucapan.