Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 27 Julai 2023 – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, dilantik sebagai Penasihat Kehormat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Prof. Dato Dr. Norazah dan menyifatkan pelantikan ini sebagai kepercayaan dan mandat yang besar ertinya dan perlu digalas dengan penuh keikhlasan serta kejujuran.
Menurut beliau, BSMM cabang UKM telah ditubuhkan sejak tahun 1986 bermula sebagai daerah kecil UKM sehinggalah diiktiraf sebagai cabang UKM dan seterusnya berkembang dengan kewujudan ahli detachment di setiap kolej kediaman di kampus.
Kini terdapat tiga siri kadet dengan jumlah kadet aktif seramai 102 orang, tambahnya.
“Badan ini ditubuhkan di UKM bermulanya atas dasar semangat perikemanusiaan dan untuk memberikan khidmat sukarela kepada mereka yang memerlukan.
“Sejajar dengan Aspirasi Malaysia Madani yang dibawa oleh pihak kerajaan, keterlibatan pelajar pelbagai kaum dalam menjalankan misi kesukarelawan BSMM ini amatlah di sanjung tinggi.
“Saya percaya tujuh prinsip yang menjadi asas BSSM sudah berjaya melahirkan ramai mahasiswa yang berdisiplin, bertanggungjawab, peka dan cakna terhadap isu semasa serta memiliki semangat sukarelawan yang tinggi,” katanya.
Tujuh prinsip tersebut adalah kemanusian (humanity), kesaksamaan (impartility), berkecuali (neutrality), kebebasan (independence), khidmat sukarela (voluntary service), bersatu (unity) dan kesejagatan (universality). Dalam majlis yang sama, Pengerusi BSMM Negeri Selangor, Tuan Nanthakumar A/L Rajasingam dalam ucapannya telah memuji kewibawaan dan komitmen BSMM Cabang UKM yang sentiasa memberikan sokongan serta keterlibatan yang konsisten terhadap program anjuran BSMM peringkat negeri.