Program “Eye to Eye” UKM – GSB Bantu Tingkatkan Kesedaran Penjagaan Mata Dalam Kalangan Warga Emas

Oleh Sanggari Ramasamy dan Khavillashini Chandran
Foto UKM-GSB

NILAI, 1 Mac 2025 – Lima mahasiswa program Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) telah melaksanakan program “Eye to Eye” bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan mata dalam kalangan warga emas di kawasan luar bandar, khususnya mereka yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.

Program dibawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Nik Mohd Hazrul Nik Hashim ini telah mendapat kerjasama oleh Hanizah Optometry Nilai.

Pada program tersebut, Dr. Nik menyarankan semua peserta yang terlibat untuk menjaga kesihatan mata.

“Cahaya kehidupan bermula dengan mata yang sihat, jagalah mata anda demi hari tua yang sejahtera,” katanya.

Beliau juga mengalakkan peserta program untuk melakukan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan penglihatan sentiasa dalam keadaan yang baik.

Menurut Dr Nik, Program “Eye to Eye” ini mencerminkan komitmen UKM-GSB dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti dan menekankan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dan perniagaan tempatan.

“Inisiatif sebegini mampu menyampaikan pendidikan perniagaan berkualiti tinggi dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat. 

“Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat tetapi juga memberikan pengalaman praktikal yang berharga kepada para pelajar dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

Hanizah Optometry Nilai turut memberikan taklimat mengenai kepentingan penjagaan mata dan potensi komplikasi yang boleh dihadapi oleh individu berusia lanjut.

Pemeriksaan mata telah dijalankan sebelum program sehari ini dan cermin mata telah diedarkan secara percuma kepada sebelas warga emas berdasarkan hasil pemeriksaan tersebut.

Leave a Reply