Oleh Nurnabila Huda Subandry
Foto Izwan Azman
BANGI, 26 Mei 2023 – Lambakan graduan siswazah tempatan meningkat setiap tahun disebabkan masih ramai yang tidak mengetahui hala tuju kerjaya yang diingini dan sesuai dengan diri selepas menamatkan pengajian.
Oleh itu, Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif dengan mengadakan Program Hala Tuju Graduan (HTG) bagi membantu memberikan pencerahan dan panduan yang lebih jelas dengan haluan kerjaya yang ingin diambil oleh para graduan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata ini adalah salah satu inisiatif yang dapat memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pembangunan kerjaya sebagai langkah awal persiapan mereka berdepan dengan cabaran di luar.
“Program Hala Tuju Graduan yang diadakan bersempena dengan Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan UKM dapat membuka peluang kepada pelajar-pelajar FPI untuk mengambil informasi daripada syarikat luar supaya mereka boleh memilih sendiri kerjaya apa yang lebih sesuai dengan kursus yang diambil dan apa yang diminati,” katanya semasa merasmikan Program HTG, di Dewan Sheikh Othman Sarawak, FPI.
Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah meluahkan rasa bangga apabila peratusan kadar kebolehpasaran graduan UKM meningkat daripada 87.9 peratus (%) pada tahun 2021 kepada 94.1% pada tahun 2023.
“Perkara ini amat membanggakan kerana kita dapat lihat permintaan daripada syarikat luar untuk mengambil graduan UKM bekerja semakin meningkat saban tahun. “Program Hala Tuju Graduan ini juga dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk menerokai hala tuju kerjaya yang sesuai dengan diri mereka,” tambahnya lagi.