Program Jelajah Kelestarian Alam Bantu Usaha Kerajaan Capai SDG 2030

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim, Izwan Azman

BANGI, 8 Oktober 2024 Program Jelajah Kelestarian Alam: Dari Anak Muda kepada Dunia yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam dapat membantu usaha kerajaan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam slot “Tanya Menteri” menyatakan bahawa belia yang hadir pada hari ini menyatakan kebimbangan kepada dua isu iaitu, perubahan iklim dan pencemaran plastik yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Jadi kita telah berkongsi dengan belia hari ini tentang insiatif terkini kerajaan iaitu Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN 2.0), satu kerangka kerja yang dikemas kini bagi membimbing peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya semasa sidang media Program Jelajah Kelestarian Alam: Dari Anak Muda kepada Dunia, di sini.

Beliau berkata dasar itu memberi tumpuan kepada komitmen negara serta usaha kerajaan untuk memenuhi ikrar iklim global, termasuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050.

“Agenda perubahan iklim juga akan menjadi antara bidang keutamaan yang akan diberikan perhatian semasa kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025,” katanya.

Nik Nazmi juga menerangkan kepada belia yang hadir bahawa kerajaan mempunyai Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia (2021-2030) dan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna (2018-2030) dan sedang mengusahakan dasar kebangsaan mengenai pengeluaran, penggunaan dan sisa plastik berdasarkan Perjanjian Plastik Global (GPT) yang masih dalam proses rundingan, selaras agenda kelestarian alam.

”Di bawah pelan yang saya nyatakan tadi, kerajaan sedang menjalankan libat urus dengan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan “caj pencemaran” kepada permintaan beg jinjit plastik sekali guna.

“Libat urus ini telah dijalankan kepada sembilan buah negeri dan lima negeri lagi akan menyusul. Libat urus ini mensasarkan untuk menetapkan satu hala tuju baharu kepada inisiatif “caj pencemaran” peringkat nasional termasuk mengambil kira pelaksanaan “Program Tanpa Beg Plastik Jinjit” di seluruh negara.”

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata berkata program tersebut menyediakan platform kepada golongan muda untuk berinteraksi secara langsung dengan Menteri NRES bagi menyampaikan harapan dan pandangan generasi muda kepada pembuat dasar peringkat tertinggi kementerian mengenai dasar-dasar perubahan iklim di Malaysia.

“Perkara ini penting dalam memahamkan gerenasi muda berkenaan SDG terutamanya SDG 6 – Sumber Air Bersih Dan Sanitasi; SDG 13 – Tindakan Iklim; dan SDG 15 – Hidupan Atas Darat, ke arah melestarikan sumber alam untuk mengurangkan kesan perubahan iklim bagi masa depan generasi akan datang.

“Sebagai pewaris negara, generasi muda perlu diberikan pemahaman yang secukupnya untuk memastikan mereka dapat bergerak sederap dengan agenda negara dan dapat memainkan peranan sebaiknya dalam memelihara kelestarian alam di negara kita,” katanya.

Pada majlis itu juga, satu penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM telah diadakan dalam usaha memberi pendedahan kepada pelajar PERMATA@ Pintar Negara tentang penglibatan Malaysia, penyelidikan dan isu-isu alam sekitar dan tadbir urus termasuk yang melibatkan Wilayah Polar yang amat unik.

Melalui MoU itu, MOU ini, pelajar PERMATA@Pintar Negara berpeluang ditempatkan di salah satu Makmal Polar di 10 universiti yang mempunyai jalinan kerjasama Smart Partnership dengan YPASM.

Leave a Reply