Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 20 Februari 2023 – Program Manifestasi Watan@ Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang mengumpulkan, kakitangan akademik, pelajar dan alumni menampilkan sorotan kejayaan dan kecemerlangan yang telah dicapai oleh fakulti tersebut.
Dirasmikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, pogram ini mengetengahkan penglibatan warga FSSK yang banyak berkorban serta komited dalam mengharumkan nama fakulti dan juga universiti.
“Kejayaan pencapaian fakulti dilihat amat signifikan dengan nilai teras dan hala tuju UKM yang bersifat holistik dan sejajar dengan agenda utama UKM, iaitu kebolehpasaran graduan dan penjanaan pendapatan.
“Saya dapat lihat ketersediaan kerjasama strategik bersama industri berkepentingan dan keterserlahan kumpulan penyelidik FSSK untuk memacu fakulti dengan lebih jauh terutamanya di persada antarabangsa dan menyumbang kepada solusi nasional.
“Penyelidikan berimpak adalah tentang bagaimana perkara yang kita lakukan di universiti berupaya mengubah kehidupan bangsa, menambah baik ekonomi, persekitaran dan negara ini,” katanya.
Menurut beliau, UKM sebagai universiti penyelidikan, bersedia menyahut amanat Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi fokus kepada penyelidikan yang kritikal dan strategik untuk negara dalam memastikan inovasi dan penyelidikan yang terhasil dapat dipindah manfaatnya untuk kegunaan dan penambahbaikan masyarakat.
“Penyelidikan mesti mempunyai pelan dan strategi pengkomersialan yang tuntas dan tidak terhenti setakat menggunakan dana untuk mendapatkan hasil malah, dimajukan untuk keuntungan dan manfaat komersial.
“Bagi merancakkan lagi momentum ini, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memperkasakan UKM melalui penerbitan berimpak tinggi, pelan keusahawanan dalam kalangan pelajar, transformasi pendigitalan pendidikan, geran penyelidikan siswazah, agenda pembangunan fizikal dan kelestarian dan aktiviti-aktiviti kreativiti melalui koloborasi pemain industri,” tambahnya. Program yang sama turut menyaksikan sesi tayangan perdana dokumentari sejarah lisan FSSK yang berjudul ‘Dirgahayu’, pelancaran newsletter ‘Bata Merah’, serta pelancaran penerbitan modul pembelajaran ‘Praktis Jepun’, hasil ciptaan warga FSSK.