Program Megafit Batik@UKM Terima Pengiktirafan Malaysia Book of Records

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Oktober 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah melalui program Megafit Batik@UKM, yang mengumpulkan seramai 5,534 peserta, sekaligus meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Participants Wearing Batik in Aerobic Program”.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dengan kerjasama Pusat Sukan UKM ini adalah usaha menggabungkan elemen warisan budaya negara dengan gaya hidup sihat.

Naib Canselor UKM, Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman menerima sijil pengiktirafan daripada Pegawai Malaysia Book of Records, Puan Siti Hajar Johor.

Menurut Mohd Ekhwan, pengiktirafan ini memperkukuhkan kedudukan UKM sebagai institusi yang menonjolkan warisan dan budaya tempatan dalam pelbagai aktiviti.

“Program Megafit Batik@UKM bukan sekadar acara senaman, tetapi turut memaparkan keindahan budaya Malaysia melalui pemakaian batik dan alunan muzik tradisional.

“Ia berjaya menarik penyertaan paling ramai dalam kalangan pelajar baharu serta pengurusan tertinggi universiti, menjadikan acara ini simbolik perpaduan antara generasi dan lapisan masyarakat di UKM,” katanya.

Tambahnya, pencapaian ini bukan sahaja satu kebanggaan buat UKM tetapi juga satu langkah penting dalam mempromosikan batik Malaysia sebagai sebahagian daripada identiti negara.

“Pengiktirafan ini menandakan UKM bukan sahaja memperkukuh identitinya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, tetapi juga sebagai pemangkin kepada usaha memelihara dan mempromosi warisan budaya negara.

“Usaha untuk mengangkat batik Malaysia melalui program ini adalah seiring dengan aspirasi universiti sebagai ‘universiti watan’, yang memartabatkan budaya dan tradisi dalam pelbagai aspek,” katanya.

Megafit Batik@UKM adalah salah satu pengisian yang diadakan sempena Minggu Apresiasi Watan (MAW) untuk pelajar baharu ambilan sesi akademik 2024/2025.

Leave a Reply