Oleh Dr. Muhamad Razuhanafi Mat Yazid
Foto Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
BANGI, 2 Februari 2023 – Program Pengurangan Jejak Karbon Ke Arah Kelestarian Negeri Selangor yang diadakan baru-baru ini di persisiran Sungai Langat diadakan bagi meningkatkan kelestarian alam sekitar, terutamanya di negeri Selangor.
Bertemakan ‘Penanaman Pokok ke arah Bandar Rendah Karbon’, sebanyak 120 pokok yang mempunyai daya serapan karbon dioksida (CO2) yang tinggi seperti Barringtonia, Kopsia Arborea, Cerbera Odollam dan Diospyros Celebica telah ditanam di persisiran sungai tersebut.
Program sehari itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada pelajar dan komuniti setempat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, asas penanaman pokok, konsep tanaman, penjagaan pokok dan jenis pokok serta sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya pelestarian alam sekitar.
Program penanaman pokok di rizab sungai langat itu adalah selaras dengan Pelan Agenda 21 (Local Agenda 21 – LA21), iaitu agenda untuk mencapai pembangunan mampan abad ke-21 berdasarkan Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.
Secara ringkasnya, ia merupakan satu program yang memberi penekanan terhadap perancangan dan menguruskan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan dan lebih berkualiti tinggi.
Cadangan pelaksanaan penanaman pokok bagi memulihara anak sungai lembangan Sungai Langat adalah bagi mengurangkan jejak karbon ke arah bandar rendah karbon.
Projek yang dicadangkan itu adalah selari dengan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dianjurkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Pengimbangan karbon adalah penting dalam pelepasan karbon pada tahap minimum. Ini boleh dilakukan melalui pelaburan program ofset karbon sebagai contoh : program penanaman pokok semula secara besaran seperti program ini.
Antara yang hadir ke program tersebut ialah Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Othman A. Karim yang mewakili Friends of Langat River (FoLR), Ketua Cawangan Pengeluaran Bahan Tanaman, Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Dr. Siti Salwana Hashim, wakil Bahagian Perancangan dan Pembangunan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zamri Sondor, Regional Manager, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Mohd Lutpee Salleh dan Pengerusi Jabatan Kejuruteraan Awam FKAB, Prof. Ts. Dr. Roszilah Hamid. Program tersebut adalah anjuran bersama antara Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Fakulti Kejuteraan dan Alam Bina (FKAB), Civil Engineering Student Club (CIVILENS), Sustainable Urban Transport Research Centre (SUTRA), FRIM, LUAS, IWK, Friends of Rivers IWK–Langat dan FoLR.