Oleh Tuan Ashraf Faiz bin Tuan Anuar
Foto Persatuan Siswazah INBIOSIS (PSaI)
BANGI, 15 Oktober 2024 – Enam pelajar siswazah bersama felo penasihat Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) telah dijemput menyertai Program Pertukaran Sains SAKURA (SAKURA Science Exchange Program) di Mishima, Shizuoka, Jepun, baru-baru ini.
Semua peserta berada di Institut Kebangsaan Genetik (National Institute of Genetic, NIG) dan Institut RIKEN Kampus Yokohama di Yokohama selama empat hari bermula 23 September yang lepas bagi melihat sendiri fasiliti kajian terbaharu dan diberikan pendedahan inisiatif kajian yang dilaksanakan dalam makmal-makmal di dua institusi tersebut.
Antara inisiatif yang diperkenalkan adalah pemeliharaan genetik terutamanya pada genetik padi liar dari serata dunia yang dikumpulkan di maklmal tersebut. Selain itu, terdapat juga pemeliharan genetik model organisma lain termasuklah lalat buah (drosophila melanogaster) dan ikan zebra (danio rerio).
Kagum dengan kajian yang dijalankan, seorang pelajar siswazah, Hazlam Shamin berkata melalui pendedahan itu, ia telah menambahkan lagi semangatnya untuk menyumbang melalui kajian-kajian yang akan dijalankan.
“Pengalaman menyertai program ini membuatkan saya ingin bersama dan berkolaborasi dengan mereka, para pengkaji dan pensyarah Jepun, dalam menyumbang kepada pengetahuan umat manusia,” ujarnya.
Selain daripada lawatan-lawatan fasiliti yang terdapat di NIG, para pelajar juga diberi peluang untuk mendalami kajian serta polisi sains terkini yang melibatkan para pengkaji di Jepun.
Siri perkongsian berkenaan polisi sains telah disampaikan oleh Ketua Jabatan DNA Data Bank Jepun, Prof. Dr. Masanori Arita. Antara yang dikongsikan adalah berkenaan dengan inisiatif sains secara terbuka (Open Science) serta konvensyen Pemeliharaan Biodiversiti (Conservation of Biodiversiti, CBD).
Perkongsian ini secara langsung memberikan lensa baharu kepada para pelajar dalam melihat kajian-kajian yang dijalankan oleh institusi tersebut dan secara tidak langsung, ia menggambarkan bahawa Jepun berada setanding dengan kuasa-kuasa besar dalam bidang sains teknologi seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
Seorang lagi peserta, Yashirdisai Sampasivam berpendapat bahawa sikap masyarakat Jepun yang sangat teliti dan komited dapat dilihat melalui perancangan bandar negara itu yang begitu sistematik, malah dapat dilihat juga dalam pelaksanaan kajian-kajian di dalam makmal.
Anis Nadyra yang turut menyertai lawatan itu memuji sikap masyarakat Jepun yang mengambil berat dan mempunyai nilai tanggungjawab sosial yang tinggi.
“Walaupun dengan kemajuan tinggi, mereka sangat cakna dengan orang lain serta mempunyai nilai tanggungjawab sosial yang tinggi. Mereka berikan layanan terbaik kepada kami, para pelajar terutamanya dalam menyediakan kemudahan tempat tinggal dan makanan halal,” katanya.
Program Pertukaran Sains SAKURA ini telah mengukuhkan lagi kerjasama yang terjalin antara INBIOSIS dan NIG, seterusnya mampu membuahkan hasil kolaborasi baharu dalam bidang penyelidikan.