Oleh Dr. Siti Nur Diyana Mahmud dan Mohamad Zulkifli Mohd Nor
Foto oleh Suhaida Subran dan Mahfudzah Zainol
BANGI, 18 Januari 2024 – Seramai 30 orang pelajar darjah lima dan enam dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (Asli), Dengkal, di sini menyertai Program Skuad Hijau STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik), yang diadakan di Bangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Program ini diadakan bagi membentuk generasi masa depan yang memiliki kesedaran dan komitmen terhadap perlindungan alam dan sumber daya semulajadi.
Penganjuran Skuad Hijau STEM adalah bagi mengintegrasikan konsep pendidikan STEM dengan pengurusan sisa 5R (refuse, reduce, reuse, recycle & recover).
Menurut Ketua Program, Dr. Siti Nur Diyana Mahmud, masalah berkaitan dengan pengetahuan dan kesedaran pengurusan sisa, khususnya dalam konteks plastik, menjadi fokus utama program.
“Ketiadaan pemahaman yang mencukupi terhadap dampak negatif pengurusan sisa plastik yang tidak lestari terhadap alam sekitar, termasuk pencemaran laut dan tanah, memerlukan perhatian serius.
“Kesedaran tentang cara yang betul untuk memproses, mengitar semula, atau mengurangkan penggunaan plastik menjadi kunci utama yang perlu ditingkatkan,” katanya.
Jadi, beliau berkata program ini memberi keutamaan dalam mengintegrasikan elemen-elemen pengetahuan dalam bidang STEM dan kesedaran pengurusan sisa, terutamanya plastik.
“Program ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Masyarakat Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan Iklim),” ujarnya.
Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan STEM, Prof. Ts. Dr. Muhamad Sattar Rasul dalam ucapannya berkata melalui pendekatan holistik program tersebut, pelajar tidak hanya memahami isu-isu kelestarian alam, tetapi juga dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam kehidupan seharian mereka.
Program Skuad Hijau diharapkan dapat menjadi terobosan dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan, bertanggungjawab, dan proaktif terhadap kelestarian alam sekitar.
Program yang mendapat bimbingan dari pelajar sarjana Pendidikan Sains Fakulti Pendidikan ini telah mendapat sokongan dari rakan industri iaitu Malaysian Plastic Manufacture Association dan NGO Eijau Millennium Explorer.