Oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
BANGI, 7 Februari 2025 – Sekumpulan pelajar tahun tiga dari program Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membantu ibu bapa di desa yang mempunyai anak-anak lambat bercakap atau speech delay dengan menggunakan inovasi ‘House of Sensory’.
Ketua kumpulan, Nur Alia Zainuddin berkata tujuan projek mainan sensori dijalankan untuk merangsang deria anak melalui lima deria utama manusia seperti sentuhan, bau, rasa, penglihatan dan pendengaran.
“Bukan itu sahaja, kotak mainan sensori yang diinovasikan ini lebih mudah dibawa, harga yang berpatutan dan lebih selamat kerana penggunaan bahan yang berkualiti seperi Theraphy Putty dan tidak berbahaya.
“Pengalaman deria menjadi bahagian penting dalam pendidikan awal kanak-kanak, mainan seperti nombor dan abjad, playdough dan haiwan menjadi tumpuan. Ia bukan sahaja mainan tetapi sebagai alat untuk mengasah minda yang lebih cerah dan kreatif,” katanya.
Menurutnya, projek ini dimulakan dengan penyelidikan untuk mengenal pasti kriteria bahan yang sesuai untuk kanak-kanak, kemudian membangunkan reka bentuk prototaip.
“Selepas ujian awal, kami mengumpul dana untuk pembuatan skala kecil,” tambahnya.
Kumpulan seliaan Dr. Velan Kunjuraman ini telah melaksanakan pemerhatian secara langsung daripada guru dan kanak-kanak di Taska Didik Nur Hidayah, Kajang, Selangor bagi mendapatkan maklum balas produk tersebut.
“Projek ini bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan deria mereka tetapi dapat mengurangkan masalah ibu bapa di desa dan kurang berkemampuan dengan menggunakan kos yang minimum.
“Penggunaan elemen warna yang pelbagai dan permainan interaktif yang menarik berjaya menarik perhatian kanak-kanak, memberikan mereka pengalaman yang menyeronokkan serta merangsang perkembangan kreativiti dan kemahiran motor,” tambahnya.
Pengurus Taska Didik Nur Hidayah, Norasmahani Md Basri berkata projek ini bersesuaian untuk kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur satu hingga enam tahun serta penggunaan warna membantu menarik perhatian golongan ini.