Oleh Muhamad Azry Khoiry, Norzatul ‘Ezzah Hasan dan Nurul Nazli Rosli
Foto oleh Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Usaha untuk melestarikan alam sekitar perlu bermula dari hari ini demi masa depan untuk generasi pewaris bumi yang hijau. Galakkan dan memberi kesedaran kepada semua masyarakat berkaitan kepentingan untuk mengitar semula terutamanya barangan domestik perlu bermula dari seawal usia dan melibatkan semua golongan masyarakat.
Oleh yang demikian, satu kumpulan penyelidikan LPIE5R (Lowering Plastic Impact on the Environment via 5R Module (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle and Recover) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan program galakkan kitar semula dengan komuniti di negeri Kedah sejak dari tahun 2019 terutamanya melibatkan pelajar-pelajar dan guru dari sekolah menengah.
Program ini diteruskan dengan fasa kedua yang berlangsung pada 21 Mac 2023 dengan dengan Bengkel Training of Trainers (ToT) bersama Guru Penyelaras Program Pengurangan Kesan Plastik Terhadap Alam Sekitar Melalui Modul 5R (Tolak, Kurang, Guna Semula, Kitar Semula, Dan Pulih) LPIE5R Fasa 2 (2023) di Purest Hotel, Sungai Petani, Kedah.
ToT yang dihadiri oleh 134 orang guru dari 75 buah sekolah menengah di sekitar negeri Kedah itu dimulakan dengan taklimat oleh ketua projek, Prof. Madya Dr. Muhamad Azry Khoiry, diikuti dengan perkongsian modul dan aktiviti yang disampaikan oleh pensyarah UKM dan wakil dari syarikat konsesi E-Idaman Sdn. Bhd.
Melalui program tersebut, Modul 5R Plastik & Kelestarian Alam Sekitar telah dibangunkan sebagai sumber rujukan dan panduan kepada masyarakat. Lima bab berkaitan Pengenalan Sisa Pepejal, Apa itu Plastik?, Ancaman Pencemaran Sisa Plastik, Pengurusan Sisa Plastik Melalui 5R dan Plastik Alternatif telah digarapkan oleh sidang pengarang untuk memberi pemahaman yang mudah difahami dan berinformatif.
Usaha-usaha murni ini diharap dapat memberi manfaat kepada pembaca serta masyarakat dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Program sehari itu berlangsung dengan kerjasama rakan jaringan kolaborasi Yayasan Sultanah Bahiyah, E-Idaman Sdn. Bhd., Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Program ini turut dijayakan oleh Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Kursi Kelestarian UKM-YSD. Program kitar semula ini mendapat sokongan yang padu daripada pihak Yayasan Hasanah dengan mensasarkan keseluruhan manfaat kepada 150 buah sekolah menengah di sekitar Kedah.
Terdahulu bagi Fasa 1 pada tahun 2022, program ini telah berjaya dilaksanakan sehingga ke majlis penutup yang telah melibatkan 143 orang guru dan 2,130 orang pelajar dari 71 buah sekolah juga di sekitar negeri Kedah.
Sepanjang program ini berlangsung, sekolah-sekolah tersebut diberi pelbagai galakkan dan sokongan untuk melaksanakan aktiviti kutipan barang kitar semula dengan sasaran minimum 500 kilogram (kg) bagi setiap sekolah untuk sepanjang tempoh program. Kutipan itu kemudiannya dijual kepada pihak E-Idaman Sdn. Bhd. dengan menggunakan aplikasi Idamanxchange.
Jumlah kutipan Jualan Barang Kitar Semula untuk program Fasa 1 bagi tempoh empat bulan iaitu dari Mei hingga Ogos 2022 amat membanggakan iaitu hasil kutipan bagi 71 buah sekolah tersebut adalah 64,451.73 kg melebihi daripada sasaran awal iaitu sebanyak 35,500 kg.
Bagi program Fasa 2 ini juga diharapkan penerimaan dan komitmen daripada 79 buah sekolah ini turut memberangsangkan. Program Jelajah STEM 5R dan pembangunan projek inovasi juga akan dijalankan sepanjang tempoh fasa ini.
Bengkel ToT itu dirasmikan oleh Dekan FKAB, Prof. Ir. Mohd Syuhaimi Ab Rahman. Turut hadir ialah Pengurus Besar Yayasan Sultanah Bahiyah; Puan Misbah Dato’ Haji Abdul Hamid, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat E-Idaman Sdn. Bhd.; Encik Firdaus Mohd Isa dan Penolong Pengarah TVET, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah; Puan Wan Nurulhuda Abdul Hamid. Mengubah tingkah laku adalah merupakan satu cabaran yang utama. Memupuk kesedaran untuk tidak membuang sampah di merata-rata tempat, mengumpul sisa minyak terpakai, mengguna semula dan kitar semula barang bukan sahaja dapat membantu menyihatkan bumi tetapi juga barang buangan tersebut boleh dijual semula dan mendapat hasil. Inisiatif seperti ini perlu terus dilakukan sebagai langkah mitigasi dan adaptasi terhadap perubahan iklim dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).