Projek Pertanian Komuniti Bangunkan Kebun Terbengkalai

Oleh Muhammad Afiq Adnan Ahmad Basri dan Dr. Velan Kunjuraman
Foto Nur Dayana Najwa Mokhtaruddin

BANGI, 20 Februari 2025 – Seramai 15 peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), bersama penduduk setempat, terlibat dalam usaha membangunkan serta menyelenggara kebun komuniti yang sebelum ini terbengkalai sejak tahun 2020 akibat pandemik COVID-19.

Projek Sulam: Pertanian Komuniti ini dilaksanakan di Kebun Komuniti 4/6, Bandar Baru Bangi, hasil kerjasama erat antara pelajar Kursus SKAA 3153 Sosiologi Desa, Sekretariat Kelestarian Alam & Keterjaminan Makanan Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Putra Malaysia (UPM), serta Persatuan Penduduk setempat.

Sepanjang projek ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan, termasuk penyediaan tanah, penanaman sayur-sayuran, pengurusan baja organik, serta teknik penjagaan tanaman yang efektif.

Satu sesi ceramah pertanian turut disampaikan oleh Dr. Normala Ismail, pensyarah Fakulti Pendidikan UPM, yang berkongsi ilmu mengenai amalan pertanian lestari kepada para peserta dan komuniti setempat.

Penduduk tempatan, Zainal Abidin Wan berterima kasih kepada UKM dan UPM kerana berjaya menghidupkan semula projek pertanian komuniti tersebut.

“Terima kasih kepada UKM dan UPM kerana telah menginspirasi penduduk setempat dalam melaksanakan projek pertanian komuniti yang telah sekian lama terbengkalai sejak tahun 2020 ketika pandemik COVID-19.

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang pertanian bandar, tetapi juga bertujuan memperkukuh hubungan antara komuniti dan institusi pendidikan dalam membangunkan amalan pertanian mampan,” katanya.

Dengan kejayaan pelaksanaan projek ini, diharapkan usaha berterusan dalam memperkasakan pertanian komuniti dapat diteruskan, sekali gus menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan dan kelestarian alam sekitar.

Leave a Reply