Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Ahmad Shahiddan Saidi
BANGI, 27 Julai 2023 – Seramai 239 orang pelajar pintar dan berbakat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendaftar di Pusat GENIUS@Pintar Negara (PGPN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam, bagi sesi akademik 2022/2023.
Pengarah PGPN, Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof berkata pihaknya telah memberi tawaran pengajian kepada 383 orang pelajar bagi mengikuti program ASASIpintar di pusat tersebut.
“Hanya anak-anak pintar yang berbakat secara holistik sahaja dipilih untuk menyertai program ASASIpintar di sini dan kriteria utama kemasukan adalah memperoleh sekurang-kurangnya 7A- dalam peperiksaan SPM. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum turut dipertimbangkan.
“Pusat GENIUS@Pintar Negara berasa bangga kerana program pra-universiti yang ditawarkan menjadi pilihan pertama anak-anak pintar ini,” katanya semasa sesi pendaftaran pelajar baharu ASASIpintar UKM, di sini, semalam.
Beliau berkata anak-anak pintar adalah aset negara yang perlu diasah dengan menyediakan kurikulum dan aktiviti pendidikan yang mencabar kebiasaan serta melangkaui pemikiran.
Daripada 239 orang pelajar yang mendaftar semalam, Danial Khan Syahiran Zairi yang merupakan salah seorang daripada 17 pelajar cemerlang yang memperoleh 11A+ dalam SPM peringkat Kuala Lumpur turut memilih PGPN sebagai destinasi pengajian.
Sesi pendaftaran yang diadakan di Dataran Dinamis Kolej Pendeta Za’ba berjalan lancar dengan kehadiran para ibu-bapa yang mengiringi pelajar yang mendaftar. PGPN UKM telah beroperasi sejak tahun 2011 dan pusat itu meneruskan tanggungjawab dalam memberikan peluang untuk mengembangkan potensi diri pelajar menerusi program-program pengayaan, pendidikan menengah dan pra-universiti.