Oleh : Dr. Hasrul Hashim (Unit Komunikasi Digital, FSSK)
Penubuhan Pusat Kajian Malaysia (Centre for Malaysian Studies) di Soka University, Jepun yang dirasmikan baru-baru ini bakal menjadi tumpuan strategik dalam memperkukuhkan penyelidikan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan melalui kolaborasi di peringkat antarabangsa dan secara tidak langsung menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG).
Buat masa kini, pusat kajian berkenaan mempunyai 12 sarjana dari Malaysia dan Jepun termasuk dua daripadanya adalah penyelidik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ikbal Mohd Huda dan Dr. Mohd Shazwan Mokhtar daripada Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA).
Duta Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany dalam ucapan perasmian pusat kajian tersebut berharap agar penubuhan pusat kajian itu dapat menjadi tumpuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan masa hadapan bagi kedua-dua negara.
Tambah beliau, kerjasama erat dua hala yang sangat baik sejak tahun 1957 telah merangkumi pelbagai aspek seperti pembangunan sumber manusia dan pendidikan tinggi yang telah memberikan manfaat kepada Malaysia dan Jepun.
Sementara itu, Presiden Soka University, Prof. Masashi Suzuki berkata penubuhan pusat kajian tersebut adalah inisiatif Pengarah Fakulti Sastera Liberal Antarabangsa (FILA), Prof. Ichiro Sugimoto.
Menurut Prof. Ichiro Sugimoto, Malaysia mempunyai institusi pendidikan yang penting bagi Jepun serta merupakan salah satu destinasi yang tepat dalam mempelajari ilmu kemanusiaan melalui kolaborasi dengan penyelidik-penyelidik di Malaysia dari pelbagai aspek dalam jangka masa panjang.
Tambah beliau, dalam masa yang sama, FILA turut akan melebarkan fokus kualiti pendidikannya melalui jaringan pengajian jangka pendek di Malaysia termasuklah program-program hubungan komuniti.
“Lebih menarik lagi, FILA turut bercadang menawarkan program Bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada program kurikulum fakulti ini dalam usaha memperkasakan pelajarnya untuk menguasai pelbagai bahasa,” katanya.
Justeru itu, hasrat ini disambut baik oleh pihak Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM dalam mengembangkan potensi para penyelidik FSSK dan UKM. Kerjasama ini juga penting terutamanya dalam proses pengembangan ilmu pengetahuan melalui program pertukaran pelajar dan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Menurut Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, FSSK dan FILA mempunyai arus pemikiran yang sama kerana FSSK turut menubuhkan Pusat Sosiobudaya Jepun Malaysia (SAKURAYA) yang menjadi pelengkap kepada Pusat Kajian Malaysia di Soka University.
“Dengan wujudnya kedua-dua pusat ini, saya berharap kita mampu untuk membina masa hadapan yang lebih baik untuk generasi yang lebih dinamik dan dalam masa yang sama berpegang teguh dengan nilai dan aspirasi watan,” katanya.