Oleh Mohamad Salleh Sulieman
CHERAS, 10 Januari 2023 – Jangkitan berlarutan virus “Human Papiloma” (HPV) perlu dikenal pasti melalui saringan dengan segera sebagai langkah awal mencegah penyakit kanser serviks.
Pensyarah dari Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee berkata virus ini biasa menjangkiti bahagian kemaluan wanita yang telah melakukan hubungan kelamin.
“Sekitar 90 peratus daripada jangkitan ini bersifat sementara dan akan hilang. Namun, jangkitan yang berterusan boleh menyebabkan virus ini mengubah keadaan sel-sel di bukaan mulut serviks menjadi “garang” (dysplasia).
“Keadaan ini dipanggil prekanser, iaitu sebelum terbentuknya kanser. Peringkat ini penting untuk kita kenal pasti supaya pesakit dapat dirawat dengan cepat agar kanser tidak berlaku,” katanya.
Menurutnya, virus ini juga boleh menyebabkan beberapa kanser lain seperti vulva, vagina serta kanser anus dan zakar.
“Pesakit yang dijangkiti virus HPV juga berisiko mendapat ketuat (wart) di bahagian kelamin, serta keabnormalan sel pada organ kelamin.
“Walaupun jangkitan virus ini boleh berlaku sesama pasangan seksual, tetapi ia bukanlah seperti penyakit kelamin lain seperti AIDS dan gonorrhea.
“Kesedaran awal tentang virus ini boleh mencegah kanser serviks daripada menyerang kaum wanita,” katanya.
Gejala dan Rawatan
Kanser serviks adalah kanser ketiga tertinggi yang mencatat kematian dalam kalangan wanita selepas kanser payu dara dan kanser usus di negara ini.
Prof. Dr. Mohamad Nasir berkata wanita yang mengalami kanser serviks akan mengalami beberapa gejala.
“Mereka akan mengalami gejala seperti pendarahan haid abnormal, berdarah selepas hubungan kelamin, keputihan yang berpanjangan atau berbau.
“Namun sekiranya lambat datang, mungkin perebakan akan berlaku sehingga menyebabkan kencing berdarah, sakit di bahagian ari-ari atau tidak boleh kencing kerana saluran kencing tersumbat. Buah pinggang juga akan membengkak dan rosak,” katanya.
Selain itu, masyarakat sering mengaitkan kanser dengan penurunan berat badan dan tiada selera makan.
“Hal ini agak kurang tepat kerana gejala seperti ini berlaku agak lewat disebabkan pesakit lewat mendapat diagnosis. Pada masa ini, sel kanser telah pun merebak ke seluruh tubuh pesakit,” katanya.
Beliau berkata sekiranya kedua-dua gejala tersebut dikesan, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut bagi mendapatkan maklumat terperinci termasuklah memeriksa bahagian servik dan pengambilan cebisan pada servik untuk melihat sel kanser di makmal.
“Prosedur minor ini tidak menyakitkan serta tiada komplikasi serius. Pemeriksaan perlu dilakukan di bilik bedah supaya dapat lihat bahagian bermasalah dengan lebih jelas, serta dapat melihat pundi kencing samada telah diserang sel kanser.
“Penggunaan CT scan dan MRI akan dilakukan mengikut keperluan untuk memberi gambaran kadar perebakan kanser ini seterusnya memberi tahu peringkat kanser ini,” jelas beliau.
Beliau menambah, sekiranya kanser masih diperingkat awal (biasanya tahap 2A dan ke bawah) pembedahan pembuangan rahim masih boleh dijalankan.
“Adakalanya pembedahan membuang rahim bersama ovari akan dibuat tetapi hal ini tidak semestinya dilakukan.
“Namun sekiranya terlalu advanced, pembedahan mungkin tidak dapat dijalankan dan pesakit akan menerima rawatan radioterapi dan kemoterapi. Ada juga pesakit akan menerima radioterapi walaupun di peringkat awal disebabkan beberapa faktor seperti saiz ketumbuhan kanser besar, tidak sesuai untuk dibedah dan sebagainya.
“Ada juga yang masih memerlukan rawatan adjuvant (radioterapi) selepas pembedahan bagi mengurangkan risiko kanser aktif semula, bergantung kepada keputusan makmal selepas pembedah dijalankan,” katanya.
Pencegahan
Beliau turut menekankan beberapa langkah pencegahan kanser serviks yang perlu dilakukan.
“Mengambil vaksinasi HPV seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan WHO adalah satu langkah permulaan yang baik.
“Malaysia kini sedang giat melaksanakan program vaksinasi dalam kalangan pelajar perempuan berumur 13 tahun. Bagi pelajar di sekolah swasta (bukan kerajaan) ibu bapa perlu mengambil cakna supaya membawa anak-anak mereka mendapatkan dos ini.
“Kajian menunjukkan vaksinasi ini mengurangkan risiko kanser setinggi 97 peratus. Walaupun dasarnya dos vaksin ini perlu diambil senyak tiga kali, namun saranan dari WHO dan KKM baru-baru ini untuk memberikan satu dos sahaja kepada kanak-kanak kerana kadar perlindungan yang tinggi walaupun hanya satu dos.
“Tetapi malangnya di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia, vaksinasi ini hanya tertumpu pada perempuan sahaja. Kajian menunjukkan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak lelaki juga akan meningkatkan perlindungan kanser lebih tinggi.
“Hal ini kerana risiko lelaki mendapat transmisi virus ini dari wanita lebih tinggi dari sebaliknya. Namun, mungkin disebakan oleh faktor kos, maka pematuhan ini tidak dapat dijalankan lagi,” katanya.
Bagi wanita yg telah berumah tangga atau mengadakan hubungan kelamin, katanya, vaksin ini juga dapat membantu mengurangkan kanser sehingga 70 peratus, namun mereka digalakkan mengambil tiga dos vaksin dalam tempoh enam bulan.
Saringan pap smear telah pun dimahsyurkan oleh kerajaan Malaysia semenjak tahun 1969 dan dibuktikan dapat mengurangakan kadar kes baru dan kadar kematian disebabkan kanser ini.
“Namun sehingga sekarang kadar saringan amat mendukacitakan, hanya sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja wanita yang tampil.
“Jadi, menjadi tanggungjawab kita memastikan mereka yang telah berkahwin (seksual), dan berumur 25 tahun untuk melakukan saringan ini setiap tiga tahun sekali.
“Dengan adanya teknologi dan perkembangan sains perubatan, saringan bukan hanya melalui pap smear tetapi juga melalui pengesanan HPV DNA (high risk), iaitu jenis virus penyebab kanser (oncogenic).
“Ini dapat dilalukan melalui pemeriksaan calitan serviks yang sangat mudah, dan tidak memudaratkan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga sedang berusaha untuk memudahkan urusan pengambilan sampel ini melalui self-sampling technique, iaitu pesakit mengambil sampel calitan sendiri supaya kurang rasa segan silu, dan lebih “patient-controlled” environment.
“Sekiranya ujian saringan ini mendapati anda mempunyai jankitan HPV dan keabnormalan pada serviks, doktor atau jururawat akan merujuk kepada pakar kanser sakit puan untuk ujian kolposkopi supaya lesi pada serviks dapat dilihat dengan lebih jelas.
“Terdapat beberapa kajian terkehadapan yang sedang dijalankan, bagi meningkatkan kadar saringan dan pencegahan yang masih diperingkat percubaan seperi penggunaan sampel air kencing untuk mengesan HPV serta menggunakan “rapid test” yang mungkin boleh dilakukan di rumah bagi memudahkan proses saringan. Namun teknik-teknik ini masih diperingkat penyelidikan,” katanya.