Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 22 Ogos 2023 – Resolusi yang diperoleh dari pembentangan ahli-ahli panel dalam program Debat Perdana MADANI akan dibawa kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman resolusi itu akan dibentangkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum diangkat ke kabinet untuk dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri.
“Namun, resolusi itu bukan penyelesaian tuntas, tetapi satu permulaan untuk membantu kerajaan mengambil maklum dan tindakan lanjut bagi mencerakinkan lagi makna MADANI daripada pelbagai perspektif supaya ia sentiasa berkembang.
“Jadi, Debat Perdana MADANI 2023 ini bukan debat dalam konotasi biasa, tetapi bermaksud memperdebat, mencerakin dan menelusuri secara mendalam gagasan Malaysia MADANI dari pelbagai perspektif dan dimensi, khususnya daripada cendekiawan luar negara yang diundang.
“Justeru, penganjuran program ini bertujuan menjelaskan lagi gagasan Malaysia MADANI kepada masyarakat terutama dalam kalangan sarjana dan ahli akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutup Debat Perdana MADANI 2023, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, di sini.
Resolusi yang pertama digariskan oleh beliau adalah konsep MADANI telah berakal dalam peradaban manusia dan ia merupakan satu konsep sejagat yang boleh diterima oleh lapisan masyarakat.
“Yang kedua adalah MADANI ini bukannya berfokuskan kepada keagamaan, tetapi seperti mana yang dinyatakan oleh Prof Emeritus Dr Mohamad Salleh (Sasterawan Negara) dalam diskusi pagi tadi, MADANI ini merangkumi keseluruhan, ia bukan pembangunan teknologi, tetapi lebih menjurus kepada aspek-aspek keseniannya, kebudayaan dan kesusasteraan, bersesuaian dengan prinsip ketamadunan yang merupakan fitrah insan dan ummah,” katanya.
Resolusi ketiga yang diperoleh dari program tersebut adalah MADANI merupakan konsep penyatuan yang memfokuskan kepada akhlak, moral, kesaksamaan ekonomi, pengukuhan jiwa bangsa dan dialog nilai peradaban sejagat yang menjadi akar kelestarian ketamadunan menggunakan pendekatan kebangkitan akar umbi.
“Keempat pula adalah usaha berterusan untuk melahirkan kod etika MADANI yang menuju ke arah negara Maju, Aman, Damai, Adil, Nikmat dan Indah (MADANI), satu lagi akronim yang mungkin boleh dibahaskan selain dari enam akronim yang telah pun established sebelum ini,” katanya.
Resolusi kelima dan terakhir yang telah Naib Canselor bentangkan adalah usaha untuk memacu konsep MADANI perlu mengambil kira isu defisit tumpuan krisis kepercayaan dan zaman kegangguan.
Dalam ucapannya juga, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan menyatakan bahawa program tersebut adalah salah satu program yang diberi mandat oleh KPT kepada UKM untuk dilaksanakan selaras dengan fungsi dan visi UKM sebagai sebuah universiti watan.
“Justeru, kitai mengambil tanggungjawab ini kerana kita yakin dengan platform ini, kita dapat membawa satu acuan gagasan Malaysia berdasarkan kepada konsep kesepaduan dan perpaduan itu,” katanya.
Debat Perdana MADANI yang dianjurkan bersama KPT akan diadakan secara berkala iaitu setahun sekali, dan dilaksanakan sekurang-kurangnya pada bulan Ogos sempena bulan kemerdekaan dengan mengumpulkan golongan pemikir, cendekiawan dan ahli ilmu dari pelbagai bidang bagi menerangkan serta membedah maksud MADANI. “Ia (debat) bukan pengakhiran, bukan juga membincangkan penyelesaian yang tuntas, sebaliknya bagi meneruskan lagi iltizam untuk mencungkil, membahas, mencerakinkan lagi konsep MADANI agar ia boleh dipraktikkan oleh masyarakat terutamanya dalam kalangan cendekiawan,” kata beliau.