Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 16 Februari 2024 – Majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di UKMShape meriah dengan kehadiran tetamu daripada pelbagai lapisan kaum bagi meraikan perayaan tersebut.
Majlis turut dimeriahkan dengan penglibatan pelajar Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh dan pelajar antarabangsa khususnya pelajar dari China.
Pengarah UKMShape, Prof. Datuk Dr. Muhammad Hussin berkata, rumah terbuka yang diadakan itu merupakan sambutan yang julung kali dianjurkan UKMShape bagi meraikan pelajar-pelajar dan juga rakan-rakan berbangsa Cina.
Tambahnya, UKM mempunyai warga berbilang kaum dan perbezaan budaya atau kepercayaan itu tidak seharusnya menjadi penghalang bagi setiap pihak untuk saling hormat-menghormati.
“Melalui sambutan ini, UKMShape mahu mempromosikan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini dan semangat ini penting bagi memastikan kerukunan masyarakat akan terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, rakyat Malaysia khususnya warga UKM amat bertuah kerana berpeluang menyambut pelbagai perayaan yang kaya dengan keamanan dan kebudayaan,” ujarnya lagi.
Penganjuran rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina di UKMShape itu juga meriah dengan kehadiran oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.
Majlis turut dihadiri oleh Rakan Niaga Strategik UKMShape dan juga pegawai-pegawai kanan dari UKM.
Antara pengisian menarik pada majlis itu antaranya seperti persembahan tarian singa, acara menggaul “Yee Sang”, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan masyarakat Cina, persembahan instrumen Guzheng oleh pelajar dari China serta sajian pelbagai jamuan makanan yang menarik.