Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 3 November 2022 – Sambutan Dua Dekad Seni Bina UKM (SB20) buka peluang kepada warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengenali seni bina UKM dengan lebih dekat.
Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman berharap agar sambutan yang diadakan di Persada Canselori dan Pusanika ini dapat memberikan impak terhadap kebolehlihatan serta menaikkan reputasi seni bina UKM ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pelbagai pengisian program termasuk Pameran Seni Bina yang memaparkan hasil kerja pelajar yang berkaitan projek cadangan untuk pembangunan UKM.
“Pameran yang berlangsung di Pusanika juga mengetengahkan hasil kerja terbaik pelajar sepanjang lima tahun terkini dan hasil kerja lukisan yang mempamerkan bangunan warisan sekitar Malaysia.
“Acara ini mempunyai sebanyak 15 pengisian sepanjang tiga hari sambutan berlangsung termasuklah booth jualan, food truck, pertunjukan fesyen seni bina, sesi bicara alumni, dan majlis apresiasi pelajar.
“Persidangan seniBINA 2022 dan Bicara Serambi yang mengetengahkan ucaptama dari profesinal arkitek terkenal alumni UKM dan ahli akademik,” katanya.
Program anjuran Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Kelab Pelajar Seni Bina dan Alumni Seni Bina UKM ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohammad Kassim.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan usaha yang dijalankan atas kerjasama jabatan, pelajar dan alumni ini merupakan satu usaha yang amat wajar di dalam mengembalikan suasana pengajian di kampus yang aktif secara fizikal.
“Dengan suasana ini, saya pasti UKM dapat melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi selari dengan keperluan kualiti graduan masa kini di samping kehendak akademik.
“Program sebegini juga melatih pelajar untuk meningkatkan penguasaan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, dan pengurusan program,” tambahnya.
Beliau turut menyampaikan hasrat universiti bagi meneliti cadangan untuk Jabatan Seni Bina dan Alam Bina sebagai sebuah Fakulti. “Saya berharap hasrat ini dapat direalisasikan bagi mengangkat program ini ke satu tahap yang lebih tinggi serta menjadi peneraju pengajian Seni Bina dan Alam Bina di negara kita dan di peringkat global,” katanya.