Oleh Nur Aisyah Mohamed Rizal & Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 2 Ogos 2022 – Seminar Serantau Peradaban Islam ke-2 (SSPI) 2022 bertemakan Peradaban Islam di Nusantara yang membentangkan 47 kertas kerja diadakan bagi mengukuhkan kerjasama antara penyelidik di Nusantara.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani dalam ucapannya berkata seminar itu juga dapat memberi peluang kepada penyelidik dan ahli akademik untuk berkongsi idea dalam membangunkan Peradaban Islam.
“Saya percaya bahawa penganjuran seminar ini adalah selaras dengan Pelan Strategik TERAS UKM yang secara rangkumannya mengandungi lima kebitaraan iaitu Watan, i-Minda, Holistik, Digital dan Prihatin yang menjadi asas dalam menentukan Indeks Pencapaian Utama UKM.
“Melalui pelan strategik ini, seluruh warga UKM berganding bahu dalam menghayati aspirasi UKM sebagai universiti watan dan seterusnya menjadi universiti tersohor di dunia dengan acuannya yang tersendiri,” katanya.
SSPI yang pertama telah diadakan pada tahun 2018 selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan Institut Dirosat Islamiyah Al-Amien, Indonesia.
Seminar pada kali ini pula adakan dengan anjuran bersama oleh empat institusi yang melibatkan negara Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Negara Indonesia diwakili oleh Fakultas Psikologi, Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Institut Dirosat Islamiyah Al-Amien (IDIA) Prenduan, Madura manakala Brunei diwakili oleh Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i, Brunei Darussalam. Penganjur seminar pada kali ini ialah Institut Islam Hadhari (IIH) dan Kursi Sheikh Abdullah Fahim, IIH, UKM.
Peserta dari seminar ini berpeluang mendengar perkongsian daripada dua tokoh terkemuka dalam Peradaban Islam sebagai ucaptama iaitu Prof Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar yang membentangkan kertas kerja mengenai isu-isu pembaharuan jati diri ketamadunan. Ucaptama yang kedua disampaikan oleh Dr. Hajah Masnooraini Haji Mohiddin, Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei yang bertajuk ‘Umar Abd Aziz pencetus kegemilangan ekonomi Islam.